Thursday, 16 January 2014

Never Stop

To all dear muslim,
Blog saya dah berpindah ke new site.
Jadi, jika ingin terus keep in touch dengan pengisian dan tulisan saya boleh ke http://i-imtinan.blogspot.com/ ya :)

Moga ada kebaikan yang dapat diperoleh bersama-sama.
Moga kebaikan ini tiada penghujungnya.
Jazakumullah khairan kathir.

Sincerely,
ME...




Monday, 25 November 2013

Bekalan Dakwah


Hidup untuk dakwah.

Kalau berdakwah memang semua orang mampu untuk melakukannya tetapi cinta akan dakwah itu sesuatu yang bukan semua mampu untuk merasainya.

Cinta itu perlu pengorbanan masa, harta dan juga jiwa seorang mukmin itu.

Juga Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta
mereka dengan memberikan surga untuk mereka.Mereka berperang pada jalan Allah; lalu
mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari
Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. 


Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat,
yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu." 


[QS.At-Taubah:111-112]


Kita para daie hari ini perlu sentiasa bersedia kerana dakwah itu menuntut lebih dari yang kita ada. Masa lapang kita, harta kita , dan paling penting jiwa -jiwa yang merindui jalan dakwah ini.


Sesungguhnya bukan dakwah yang memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukan dakwah. Jangan di biarkan dakwah kita kontang dan kering. 


Jadikan 'Q' itu sebagai bekalan terbaik sepanjang menelusuri jalan warisan anbiya' ini.


Q itu merujuk kepada Quran. Apa makna seorang daie tanpa Quran?


Pesanan dan taujih dari Allah lah bekalan dan tunjang kekuatan dalaman dan ruhiyah terbaik sepanjang zaman. Isilah masa meski hanya sehelai muka surat Quran dalam hidup sehari-hari. Agar hati dalam dadamu hidup dengan ingatan dari kalamNya.


Fahami dan tadabburlah peringatan dan nasihat dari Rabb yang Maha Kuasa. Dia yang paling mengerti dan memahami apa yang berada dalam hati manusia. Dia juga yang paling memahami kemampuan dan kadar iman seorang hambaNya. Jalan dakwah ini pasti menjanjikan kebahagiaan meski kesempitan. Dan rasa kebahagiaan itu hadir saat kita tahu tatkala kita hampir putus dan tidak punya sesiapa, kita masih sedar bahawa kita ada Allah dan kita kepunyaan Allah


Q juga boleh rujuk kepada qawiyy. Yang merujuk kepada maksud kekuatan. Seorang daie itu perlu kuat dari segi kesihatannya, mindanya dan spiritualnya.


Bagaimana seorang daie mahu mengajak orang lain untuk sama-sama berjalan atas landasan dakwah tatkala dia juga mudah lemah semangatnya, mudah lemah keinginannya dan juga lemah pemikirannya?


Azam yang lemah tidak membantu untuk membentuk keinginan itu terwujud. Azam itu perlu kuat disusuli usaha dan tawakal yang tidak putus-putus mengharap pada RabbNya. 


Q juga merujuk kepada qudwah. Qudwah itu bermaksud contoh atau role model. Daie perlu peka bahawa seorang daie itu perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik. 


Bagaimana dia mampu menarik hati mad'u ( orang yang di dakwahinya) andai dia tidak langsung menunjukkan contoh dan ikutan yang baik.


Contoh, seorang itu bersemangat mengajak ke arah kebaikan atau bersegera dalam mengajak orang lain membuat kebaikan tetapi dia sendiri dalam masa yang sama, selalu subuh lambat atau 'subuh gajah'. Ini perlu diperhatikan agar nilai akhlak dan aqidah yang mantap menghiasi diri sang daie terlebih dahulu. Atau kata lain, seorang daie itu perlu mengislahkan diri (menambahbaik) sebelum mengislahkan orang lain.


Q lain boleh merujuk pada Qiblat. Yakni tujuan seorang daie walau di lapangan mana dia berada, dia perlu qiblatkan hati dan amalnya hanya untuk Allah. Kadangkala hati ini selalu berbolak-balik di sebalik nikmat dunia yang mengelabui akhirat. Inilah peranan qiblat iaitu melalui cara tajdid niat (memperbaharui niat). Tajdid niat ini bukan berlaku pada permulaan sahaja tetapi dalam seluruh fasa hidup memang memerlukan tajdid niat sentiasa.


Q seterusnya merujuk pada qalbun iaitu hati. 


Bagaimana dia mampu merasai kemanisan berdakwah andai tiada qalbu dalam dakwahnya?


Hidupkanlah qalbumu dengan sentiasa ingati Allah. Sesungguhnya maka apabila hati baik, maka baiklah seluruhnya.


Rasul mengingatkan :


“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” 


(Riwayat Imam al-Bukhari.)


Dalam hadis lain:


Dari Abu Hurairah, Abdurrahman bin Shakhr radhiyallahu’anhu, dia mengatakan bahwa Rasulllah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda


“Allah tidak melihat fizik dan rupa kalian, akan tetapi Allah melihat hati [dan amal perbuatan] kalian.” 


(HR. Muslim no.2564)


Q yang seterusnya merujuk kepada qorinah iaitu kawan atau teman. Dalam jalan dakwah ini kita sentiasa memerlukan sahabat dan teman yang soleh yang mampu ingatkan kita padaNya selalu kerana kita perlu sedar bahawa jalan dakwah bukan jalan yang dihiasi karpet merah. 


Tetapi jalan dakwah ini adalah legasi dari jalan para nabi-nabi terdahulu yang sentiasa penuh dengan ranting-ranting halangan yang kadangkala menyakitkan. Maka sokongan dalam jalan dakwah ini sememangnya memerlukan orang-orang yang merupakan sahabat yang akan selalu bersama-sama menyokong dalam jatuh bangun sepanjang jalan dakwah ini.


Q yang terakhir adalah 'qaryah' yang bermaksud kampung. 


Seronok tak kalau kita dapat balik kampung?



Kebanyakan kita pasti rasa seronok dan bahagia . Seorang daie pun perlu begitu juga. Kampung di sini merujuk kepada syurga yang kekal abadi. Sungguh kita bukan orang dunia tetapi kita adalah orang akhirat yang menumpang di dunia untuk mencari bekalan untuk pulang ke kampung halangan kita iaitu negeri akhirat.

Motivasi syurga itu satu janji Allah untuk hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Daie itu perlu dan sentiasa cuba untuk merasakan manisnya syurga Allah tatkala manusia lain berpusu-pusu mencari syurga dunia yang sementara. Persiapkanlah bekalan sebaiknya untuk pulang ke kampung halaman yakini syurga yang tiada tandingnya di samping dengan harapan dapat berjumpa Allah, rasulullah dan sahabat serta orang-orang yang shalih di sana.


Hidupkan jiwa daie kerana ramainya masyarakat yang belum menikmati nikmatnya mengenal Islam. Jadilah seperti buah utrujjah yang rasanya manis dan berbau harum. Sebarkanlah islam agar keharumannya tersebar ke seluruh dunia dan di mana sahaja dakwah kepada Islam itu mengalir.

Moga Allah ketemukan kita di tempat yang lebih baik. I.Allah...




Tuesday, 29 October 2013

Sedekah Saham Yang Hampir Terlupakan

"Sedekah akan sampai terlebih dahulu ke tangan Allah sebelum sampai ke dua tangan si fakir." (Ummul Mukminin,A'isyah)

Sedekah. Wahai mukmin sekalian...
Sedekah itu satu pelaburan saham yang hampir terlupakan . Mungkin bukan semua orang tapi anggap ini juga untuk peringatan kita bersama ya.

Nilai sedekah itu tidak mampu menandingi nilai emas dan perak jika kita menyelusuri dengan teliti hikmah dan kebaikan bersedekah itu.

Ikhlaskanlah dalam perkataan dan perbuatanmu!

Allah tidak pernah menghitung berapa jumlah yang seorang mukmin itu sumbang atau sedekahkan. Tetapi apa yang Allah lihat itu adalah apa yang ada dalam hati mukmin itu sendiri. Iaitu niat dan keinginan sebenarnya seorang hamba itu apabila dia bersedekah atau melakukan apa-apa sahaja amal dalam detik kehidupannya.

Mari kita telusuri pesanan Nabi yang mengingatkan :

"Berapa banyak orang berpuasa dan ia tidak mendapatkan sesuatu dari puasanya kecuali rasa lapar. Dan berapa banyak orang yang mengerjakan solat malam (qiyamullail) dan ia tak mendapatkan apapun darinya kecuali begadang semalam suntuk"

(HR Ibnu Majah (1690). Al-Albani berkata, "Hasan Shahih".

Lihat!

Seorang lelaki menunaikan solat tetapi fikirannya serabut manakala hatinya tidak khusyu'. Ketika berdiri di belakang imam, dia hanya mengikut pergerakan solat imam dihadapannya dengan fizikalnya sahaja. Orang yang mempraktikkan ibadah seperti ini tidak mendapat apa-apa pun kecuali rasa letih.

Tadabburlah...titipan dari Tuhanmu:

"Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu."  (Al-Munafiqun:10)

Perhatikanlah titipan ini sebaiknya. Apa sebenarnya hikmah dan kebaikan sedekah sehingga ia menjadi satu nasihat yang mengesankan.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya, Allah akan mengembangkan sedekah kurma atau sepotong makanan dari salah seorang di antara kalian memelihara anak kuda ataupun anak untanya , sehingga sedekah salah seorang diantara kalian tersebut menjadi besar seperti bukit Uhud."

Telusuri apa sebenarnya dimaksudkan dalam hadis ini..

Mengapa Nabi mengaitkan gandaan satu dirham sedekah dengan pembiakan anak kuda?

Sebahagian ulama mengatakan, Kerana pembiakan kuda memerlukan perhatian khusus. Si pemilik kuda sampai rela menghabiskan waktunya demi pemeliharaan haiwan tersebut, dan setiap hari ia akan selalu memerhati perkembangan haiwan peliharaannya.

Dengan kata lain , seorang mukmin itu bersedekah dengan RM 2 atau nilai yang lebih kecil dari itu. Maka Allah akan mengembangkan harta seorang yang bersedekah itu hingga sesuap makanan boleh melimpah-limpah umpama Bukit Uhud.

Dan..tatkala akhirat itu ,

Ketika seorang mukmin itu menghadap Allah dan mendapati apa yang disedekahkan itu telah dikembangkan Allah.

Cuba bayangkan!

Ketika mukmin itu bersedekah lalu lupa dengan sedekah tersebut,kemudian mukmin itu meninggal dalam keadaan tidak mengetahui bahawa Allah mengembangkan sedekah itu, iaitu sejak seorang mukmin itu mengeluarkannya hingga hari kiamat!

Lalu ketika akhirat, anda mendapati apa yang seorang mukmin itu sedekahkan telah menjadi suatu yang melimpah-ruah dan menggunung. Sungguh, Allah melipatgandakan sedekah itu untuk sang mukmin yang bersedekah atau 'infaq'.

Wahai tangan yang kikir...hayati titipan Rabbi:

" ..Dan siapa yang kikir, sesungguhnyaia hanyalah kikir terhadap dirinya. Dan Allah yang Maha Kaya sedangkan kamu orang-orang yang membutuhknNya... (Surah Al-Ahzab:21)

Anda masih di sini? Jom, telusuri satu kisah yang sangat osem sebagai renungan bersama:

Zainal Abidin bin Hasan bin Ali, setiap malam keluar rumah untuk meletakkan gula, gandum dan makanan di hadapan pintu rumah orang-orang miskin dan setelah selesai beliau akan pulang ke rumahnya. Akan tetapi tiada satu dari orang-orang miskin yang mengetahui siapakah gerangan yang meletakkan makanan ini.

Setelah Zainal Abidin meninggal dunia, tiada lagi yang meletakkan makanan untuk orang-orang miskin. Maka saat itu orang miskin menyedari bahawa orang yang acapkali meletakkan makanan di rumah mereka adalah Zainal Abidin kerana saat mereka hendak memandikan jasad beliau, mereka menemukan tanda hitam di bahunya. Kesan itu adalah akibat dari seringnya dia memikul makanan dan berjalan jauh membahagikan makanan kepada para orang miskin.

Orang-orang mukmin...

Ketahuilah konteks sedekah itu luas. Bukan setakat duit yang kau miliki akan tetapi apa sahaja yang kau miliki saat ini seperti ilmumu, tenagamu, bicaramu itu juga dikira sedekah jika digunakan untuk memberi manfaat untuk orang lain.

*Jom sedekah :)

Wasalam.







Saturday, 28 September 2013

PadaNya Aku Sandar Bicara

Seronoknya dapat bicara dengan kalamNya!


“Qul huwallahu ahad.”

“Maksudnya, Katakanlah bahawa Allah itu Tuhan yang Esa.”

Lunak suara kanak-kanak lelaki itu mengalunkan ayat-ayat Tuhannya yang Satu. Pandangan matanya menatap mushaf yang kelihatan usang. Kemudian bacaan disambung oleh teman yang duduk di sebelahnya.

Murid-murid lain turut memandang mushaf milik mereka. Cuba memahami dengan akal dan jiwa suci yang sesuai dengan fitrah manusia.

Tidak ketinggalan ada juga segelintir daripada mereka yang melilau matanya memandang kiri dan kanan. Angin sepoi-sepoi bahasa lembut meniup jasad setiap manusia yang ada dalam ruang kelas yang kecil itu.

*                     *                             *
                                                               
Dia menguatkan lagi volume radio di biliknya. Lentingan suara di luar kamar semakin tinggi. Lelaki itu tidak mahu tahu apa-apa yang terjadi di luar sana. Dia tidak peduli tentang semua kerana dia tidak mahu tahu. Dia cuma mahu sendiri. Tanpa sesiapa pun.

“Kalau rasa bosan terperap saja di rumah , jomlah join kami pergi keluar lepak malam-malam.”

“Daripada kau duduk sedih pasal masalah lebih baik kau layan cerita-cerita yang best. Aku ada banyak cerita sekarang ni. Engkau cakap saja nanti bila-bila masa aku boleh saja bagi pinjam pada kau.”

Suara kawan-kawannya tergiang-ngiang dalam fikiran yang berlari jauh dari realiti.

“Bosan!” Jerit lelaki itu sekuat-kuat dalam hatinya sambil menghempas tubuh ke tilam empuk yang terletak di tengah biliknya.

“Bump!”

Kedengaran keras bunyi pintu di luar sana. Suasana di ruang tamu tadi yang kedengaran tegang kian hilang. Sunyi dan hening memenuhi ruang rumah yang kosong itu sekosong hati penghuninya.

*                     *                             *

“Siapa yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”

Cuma ungkapan itu yang menerobos masuk gegendang telinganya. Kata –kata guru sejarahnya selepas itu bagaikan angin lalu yang tidak memberi kesan pada mindanya.

“Kalau siapa yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”

“Bagaimana pula kalau orang melupakan tuhannya?”

Shakir memandang lelaki itu. Aneh sekali bunyi soalan itu.
“Aku tanya engkaulah soalan ni.”

Shakir memandang seketika sebelum mengalihkan pandangan ke tempat lain. Dia malas menjawab soalan lelaki itu.

Ilham Irsyad. Lelaki itu memang suka bertanya soalan-soalan yang dia tidak gemari. Meskipun mereka bersekolah dari zaman kanak-kanak hingga ke alam remaja kala ini namun mereka memang tidak pernah rapat. Shakir berfikir sejenak.

Silap. Mereka pernah rapat. Suatu ketika dahulu sewaktu di tadika. Tetapi masa berputar membawa haluan dan cerita tersendiri. Kini, Ilham Irsyad cuma bayang-bayang yang mengganggu dirinya apatah lagi dengan soalan-soalan yang dilontarkan kadang-kala membuat darahnya berapi-api.

“Kalau engkau rasa bosan apa yang kau buat Syakir?”

“Woi, kau janganlah kacau best friend aku.” Satu tepukan hinggap di bahu Ilham Irsyad belum sempat soalannya dijawab.

Lelaki yang bertubuh sederhana besar itu segera mengambil tempat di sebelah Syakir.

“Daripada kau layan mamat Ilham ni lebih baik kau ikut aku. Ha…malam ni aku nak kau ikut sekali aku dengan Geng Kucai kumpul depan jambatan lama.”

“Aku tak nak dengar jawapan kecuali ya daripada kau. Haha… apa-apa nanti aku contact.” Azril bangun lantas menepuk-nepuk bahu Shakir tanpa menunggu sebarang jawapan sebelum beredar pergi ke kelasnya yang terletak bertentangan dengan kelas Shakir.

Ilham Irsyad cuma memandang mereka berdua tapi Shakir dapat merasakan wajah itu kelihatan tegang.

*                     *                             *

“Allahu Akbar!”

“Allahu Akbar!”

“Syahadah, abang gerak ke surau dulu ya. Azan maghrib dah masuk. Nanti pastikan adik-adik solat maghrib tau.”

Gadis berusia belasan tahun itu mengangguk tanda memahami.

Motor yang ditunggangnya berhenti betul-betul di belakang kawasan jambatan lama itu. Pandangannya jatuh pada sekumpulan anak-anak muda yang masih melepak di kawasan itu meski seruan Ilahi sudah berkumandang dari tadi.

Matanya tertancap pada seorang pemuda yang sederhana tinggi yang juga duduk bersama kumpulan itu. Perlahan-lahan dia menarik nafas dan melepaskannya seakan-akan melepaskan luahan yang cukup dalam.

Tanpa menunggu lama , Ilham Irsyad meneruskan perjalanannya mencari ketenangan hakiki dari Ilahi. Surau yang terletak bersebelahan padang itu kelihatan agak lengang meski penduduk kawasan sekitar surau itu agak ramai.

Cahaya matahari mula kelihatan samar-samar dan langit mula diselimuti kegelapan malam.

*                     *                             *

“Shakir , aku nak kau cuba benda ni. Mesti hilang semua tekanan kau.”

“Din, aku mana ada masalah. Apa yang kau nak risaukan sangat.”

“Eh, kau kawan baik aku. Mesti aku tahu kau ada masalah sekarang.”

“Aku tak naklah Din. Lagipun, aku keluar lepak pun sebab aku bosan duduk rumah.”

“Woi Shakir, Din bukannya nak engkau ambil dadah pun. Cuma rokok sebatang pun susah. Tak macho betullah kau ni.”

Jihan bersuara sambil tangannya menghulurkan sebatang rokok Dunhill.

“Tak apa. Shakir tak biasa lagi. Macam nilah. Aku bagi kau satu kotak rokok percuma dengan lighter sekali. Kalau kau rasa bosan atau stress kau cuba at least satu batang rokok. Mesti lepas kau rasa baru kau tahu betapa nikmatnya kalau dapat rokok.”

Budin segera meletakkan kotak rokok bersama lighter dalam kocek baju pemuda itu sambil menghadiahkan segaris senyuman yang sukar ditebak maknanya.

Kawan-kawan lain memandang sambil ketawa besar.

“Mana adil Budin bagi kau free-free saja. Aku pun nak juga.”

“Relakslah Jihan. Saudara kita ni mana pernah dapat rokok. Biarlah.” Budin bersuara sambil tersenyum sumbing.

“Eh, Shakir. Kalau kau nak balik temankan aku sekejap. Aku nak ke rumah kawan aku tapi jauh sikit dari sini.”

“Budin dengan Jihan kan ada. Kenapa aku pula yang kena temankan kau?”

“Budin dengan Jihan nak turun pekan nanti. Alah… jomlah bukannya lama pun.”

“Emm…okeylah tapi kalau engkau lama sangat aku balik dulu.”

“Ha..macam ni baru kawan namanya.” Shahrul menunjukkan ibu jari pada temannya itu.




Shakir cuma menunggu di luar rumah. Malas mahu berlama-lama di rumah orang. Tidak lama, Shahrul keluar membawa satu beg kecil.
“Nah,dalam ni ada macam-macam cerita best. Minggu lepas aku dah cakap yang kau boleh pinjam cerita-cerita best dari aku.”

“Aku tak minta pun dari kau. Nanti kalau aku nak aku cakaplah yang aku nak pinjam. Tapi sekarang ni aku tak ada mood nak tengok cerita-cerita engkau . Faham tak?” Shakir mula mengeraskan suara.

Cool brother. Muka dah macam ayam berak kapur aku tengok. Aku tak suruh tengok cerita ni sekarang. Nanti bila-bila kau free bolehlah kau tengok cerita. Kalau dah bosan tengok baru pulang pada aku. Nanti aku bagi cerita yang baru.”

*                     *                             *

Lelaki itu segera membawa diri ke bilik. Lesu benar tubuhnya saat itu. Dia menghempaskan tubuhnya di atas katil sambil matanya memandang kipas yang berpusing-pusing di siling. Fikirannya menerawang entah ke mana-mana.

Seketika tangannya mencapai kotak rokok dalam poket bajunya. Rokok. Lighter. Kosong. Tetap kosong.

Dia tetap merasakan perasaan itu. Tidak pernah hilang. Lantas tangannya mencampak kuat rokok-rokok itu ke dinding biliknya. Beg kecil di sampingnya segera dicapai. Perlahan-lahan tangan lelaki itu mencapai CD-CD yang tersembunyi.

“Apa ni?!” Dia segera bangkit dari katil dan memejam mata beberapa kali melihat CD – CD tersebut.

“CD pornografi.  Aku tak sebodoh dan senaif untuk dipermainkan dengan benda-benda macam ni.”

Shakir geram lantas membawa beg kecil serta CD dan rokok yang diterimanya keluar rumah. Dia membuang semua barang-barang itu lantas dibakarnya di kawasan pembakaran belakang rumahnya.

Matanya memandang bara-bara api yang mula membakar. Hatinya sebak. Dia memejam mata rapat-rapat.


*                     *                             *



Gadis itu menutup mata adiknya dengan kedua tapak tangan.

“Shakir, jangan tengok cerita macam tu. Tak elok.”

“Akak, kenapa tak boleh tengok ? Adik baru nak tengok, akak dah kacau.”

“Cerita berpeluk-peluk dan berkucupan itu tak elok. Allah tak suka tau.”

“Kenapa pula Allah tak suka?”

Gadis itu tersenyum mendengar soalan adik kecilnya.

“Okey. Akak bagi satu contoh. Kalau adik pergi tadika boleh tak adik pergi pakai tuala saja?”

“Isy ,akak ni mestilah tak boleh. Cikgu cakap kena pakai baju sekolah setiap hari . Mana boleh adik nak pergi pakai tuala saja.”

“Ha…macam tu juga dengan Allah. Bumi ni Allah yang punya. Ada peraturannya sama juga di tadika ada peraturan yang perlu adik ikut. Kalau tak ikut mesti cikgu adik marahkan? “

Kanak-kanak lelaki itu mengangguk.

“Kita semua hamba Allah. Jadi kena ikut peraturan Dia kalau tak nanti Allah murka pada kita.”

“Oh, jadi kalau adik tak tengok cerita macam tu , Allah tak akan marah pada adik?”

“Betul . Malah Dia akan bertambah sayang pada adik.”

“Seronoknya!”

*                     *                             *



Lelaki itu membuka mata.

“Akak kata Allah akan sayang pada adik tapi kenapa Dia ambil akak dan biar adik seorang.”

“Kenapa akak biarkan adik sendiri macam ni?”

“Adik rasa kosong sangat sekarang ni.”

“Ya Allah, tolong aku!”

Lelaki itu merenung bara-bara api yang mulai padam dengan pandangan berbalam-balam. Dan malam semakin pekat .

*                     *                             *


“Allahu Akbar!”

“Allahu Akbar!”

Azan subuh berkumandang memenuhi hampir setiap ruang.

Lelaki itu bangkit menuju ke kamar mandi. Dia membuka paip air. Lama dia termangu sebelum dia berniat untuk berwudu’. Untuk pertama kali dia melakukannya setelah sekian lama dia meninggalkan amalan itu.

Perlahan-lahan air mata yang mengalir bertambah lebat. Makin kuat esakannya seakan melawan-lawan curahan air dari paip itu.

Subuh berjemaah di surau memang tidak ramai. Lelaki itu cuma memandang sepi lorong surau dari kejauhan. Dia buntu harus bermula dari mana. Mengangkat takbir juga sudah beberapa tahun dia tinggalkan. Dia tidak ingat dari mana harus dia mulakan langkah mendekati Tuhannya.

Dia masih memperhatikan jemaah yang mula bersalam-salaman dan bersurai keluar dari surau. Lelaki itu segera berundur beberapa langkah. Takut ada yang menyedari.

Merasa putus asa terhadap diri sendiri membuat dia berpaling ingin pulang semula ke rumah. Beberapa langkah dia meninggalkan kawasan itu…

“Eh, kau belum jawab soalan aku lagi?”

Langkah Shakir terhenti seketika.

“Siapa yang melupakan sejarah pasti mengulanginya tapi kalau siapa yang melupai tuhannya …? Apa pula yang terjadi?”

Lelaki ini memang pelik. Subuh-subuh lagi tanya soalan yang dia pun sendiri bingung.

“Mana aku tahu. Engkaukan baik dan alim. Engkau sajalah yang jawab soalan tu. Aku malas nak jawab.”

Ilham Irsyad tersenyum menampakkan giginya yang tersusun rapi. Untuk pertama kali Shakir senang melihat wajah itu.

“Kalau siapa yang melupai tuhannya dia akan mengulangi dosa-dosa yang sama sehingga pada satu masa dia sendiri kelelahan dalam dosanya sendiri.”

“Sesiapa yang diberikan kebaikan nescaya kebaikan itu dari Allah dan barangsiapa yang ditimpa keburukan itu adalah sebab dari dosanya sendiri.”

Shakir senyap mendengar. Sentap jiwanya mendengar ungkapan itu.

“Jomlah ikut aku sembahyang Subuh sekali.” Ilham Irsyad mengajak dengan hati yang lapang.

“Kau belum sembahyang lagi ke?”

“Aku tunggu engkau masuk dalam surau tapi engkau asyik berdiri di sini dari tadi tak bergerak. Bukannya nak masuk. Aku yang tunggu ni terpaksa tahan sakit kaki sebab semut api asyik menggigit dari tadi.”

Shakir mengetap bibir menahan gelak melihat reaksi Ilham Irsyad.

“Siapa yang suruh tunggu aku?”

“Dahlah, nanti terlepas subuh pula kita berdua ni.” Ilham Irsyad segera melangkah.

Namun langkahnya terhenti pabila melihat Shakir membatu seperti tadi.

“Aku tak tahu nak mula dari mana?”

“Semuanya aku dah tak ingat. Cuma pergerakan solat yang aku hafal.”

Shakir tunduk. Seakan-akan menyembunyikan resah yang tersimpan.
“Engkau dah ada wudu’?” Ringkas soalan Ilham Irsyad.

Shakir mengangguk perlahan.

“Tak mengapa kita mula dari awal. Seperti di tadika dulu. Aku akan ajar kau asas solat,okey?”

“Ilham,terima kasih.”

“Dah, aku macam rasa melankolik pula tiba-tiba. Jom!”

Kali ini mereka melangkah bersama-sama seperti gandingan mereka di tadika sewaktu mereka masih kecil.

*                     *                             *

“Sewaktu kemalangan yang meragut nyawa kakak , satu family tengah tunggu kakak pulang dari airport memandangkan kakak dapat pulang ke Malaysia selepas peperiksaan akhir tahunnya.”

“Itu pertama kali aku melangkah masuk ICU dengan harapan yang kakak mampu bertahan untuk terus hidup walau hakikatnya aku sendiri tak mampu untuk melangkah masuk menapak dalam wad tu. Dan harapan aku punah. Akak tak mampu bertahan walau sedetik pun . Yang ada depan aku cuma jasad yang kaku. “

“ Sejak hari tu, keluarga jadi sunyi dan dingin. Aku tinggal seorang memandangkan kami dua beradik saja. Ujian bagaikan datang bertimpa bila ayah kena tipu dalam perniagaan. Mak dengan ayah pun mula renggang.Hari-hari bertengkar. Aku bagaikan tak wujud lagi depan mereka. Aku ada ke atau tak ada ke mereka tetap buat hal sendiri. Kedinginan yang mencengkam sangat-sangat.”

“Aku tak tahu nak describe keadaan aku waktu tu. Aku cuma rasa kekosongan yang amat luas bagaikan tiada hujung.”

Ilham Irsyad mendengar sambil matanya memandang langit. Sungguh hatinya sebak mendengar bicara temannya.

“Shakir, aku harap kau pegang semula mushaf yang dah lama kau tinggalkan. Kau masih ingat bacaan Surah Al-Ikhlas waktu di tadika kita dulu?”

“Surah itulah yang aku tak lupa sampai sekarang mungkin sebab aku sangat menyukai surah tu. Dulu seronok sebab dapat hafal sekali dengan makna cuma sekarang dah tak ingat maknanya lagi.”

“Aku gembira sangat sebab hari ni aku dapat semula kawan aku selepas bertahun-tahun aku kehilangan dia. Lepas ni, bolehlah kita tadabbur ayat dalam Quran sama-sama.”

“Semangat engkau masih sama Ilham. Dari kecil sampai sekarang tak berubah langsung.” Shakir tergelak seketika.

“Tak, sebenarnya engkau yang ajar aku untuk semangat sebab waktu kecil aku cemburu dengan kau . Apa tidaknya sebab kau selalu dapat baca hafalan surah dengan baik sekali disertai makna. Dari situ aku belajar cintakan Quran bila engkau ajari aku untuk memahami Quran bukannya menghafal.”

“Tapi itu dulu Ilham. Sekarang aku jahil. Ilmu Quran aku entah ke mana-mana.”

“Kita cuba semula sama-sama. Masih ada kesempatan dalam kesempitan.” Ilham Irsyad menghulurkan tangan.

Lantas tangan itu disambut erat dengan genggaman yang kuat penuh ukhuwwah.



“Kakak, surah apa yang akak tengah baca tu?”

“Surah Al-Ikhlas. Akak suka sangat surah ni. Mendalam sangat maknanya.”

“Oh…kalau di tadika cikgu ajar adik Surah Fatihah tapi tak pernah pula dengar Surah Al-Ikhas. Siap dengan makna lagi ya?.”

“Shakir pergi ambil mushaf Shakir dalam bilik nanti lepas solat asar akak ajar Surah Al-Ikhlas dengan maknanya  sekali,ok?”

“Alah…adik nak pergi main bola sepak dengan kawan-kawan lepas asar ni.”

“Tak apa. Kalau macam tu selepas maghrib kita sama-sama baca Quran dengan belajar surah Al-Ikhlas.”

“Haa…sayang kakak.”

*           *        *

Syakir merenung surah Al-Ikhlas. Tiada lagi kakak di sisinya. Yang ada cuma mushaf yang menemani di sisi.

Perlahan-lahan dia mengucup mushaf sebelum meletakkannya di atas meja . Mak dan ayah pergi keluar kenduri bersama-sama di hujung kampung selepas solat isya’. Alhamdulillah kelihatannya permulaan baru yang lebih baik untuk mereka berdua. Harapannya moga mereka juga menemui ketenangan yang dinikmatinya saat ini.

Matanya memandang langit. Kelihatan bertaburan bintang-bintang. Rumahnya sunyi dan sepi namun tidak lagi hatinya. Hatinya kini penuh dengan bicara. Bicara padaNya melalui kalam yang penuh dengan mukjizat.

Tamat
Imtinan 8.27pm
28/9/2013
23 Zulkaedah 1434H


* Kepada pembaca yang sangat saya hormati. Kalau ada sebarng komen dan kritikan boleh maklum di ruang komen atau email saya : tasnimmawaddah@yahoo.com sebab saya budak baru belajar. Banyak yang saya perlu perbaiki.

Semua yang baik dari Allah dan yang kurang itu dari kelemahan saya sendiri. Terima kasih semua :)

Tuesday, 3 September 2013

Hidup Tak Perlu Kaya


Nak Kaya atau Nak Cukup???


Kaya bukan persoalan penting dalam hidup manusia. Kebanyakan kita runsing apabila persoalan berkaitan kekayaan. Ada bermacam - macam cara diusahakan untuk menjadi kaya. Ada juga yang sudah sedia kaya tetapi masih juga mengejar dan mencari jalan untuk menambah harta.



Dalam hidup manusia yang sebenarnya bukan kekayaan yang perlu melingkari kehidupan tetapi apa yang lebih penting adalah cukup. Saya tidak mengajak saudara dan saudari untuk menjadi kaya tetapi saya mengajak kalian untuk menjadi orang yang cukup.



Orang yang kaya belum tentu cukup tetapi orang yang cukup pasti kaya. Dan perasaan dan kehidupan yang cukup itu terhasil apabila ada berkat dan rahmat dari Allah. Lihat saja sebagai contoh, seorang perempuan yang keinginannya sentiasa hendak membeli kasut baru atau sebagainya sedang di rumah dia sudah memiliki beberapa sepatu. Ini terjadi apabila dia tidak merasa kecukupan dalam hidup. Pasti sakit dan lelah andai keadaan berterusan seperti ini.



Ada orang kaya memiliki pelbagai kemudahan dan aset yang berjuta- juta tetapi boleh jadi dia merasa tidak pernah cukup. Satu keluarga yang bahagia itu tak boleh dinilai dan diukur dengan wang ringgit. Banyak wang ringgit belum tentu membahagiakan semua orang.



Setiap apa-apa yang dianugerahkan kepada kita itu bukan untuk diri sendiri tetapi juga untuk memberi manfaat kepada orang lain. Allah beri kita rezeki dan jangan merasa takut untuk memberi juga kepada orang lain sebahagian rezeki itu. Rezeki manusia itu sudah tertulis sejak di luh mahfuz.



Beriman kepada qada' dan qadar itu harus juga yakin bahawa rezeki setiap manusia itu sudah ada diatur. Manusia itu kebanyakannya runsing tentang rezeki , jodoh dan pelbagai lagi sedangkan bukankan Allah itu sudah mengatur. Yang paling penting itu adalah usaha dalam setiap yang dilakukan dan mencari redha Allah.



Yakin pada Allah itu pasti bahagia. Kalau nasi sudah jadi bubur itu bukan penamat kehidupan. Tetapi kita harus redha dan dalam masa yang sama cari ayam, sayur dan sebagainya untuk menghasilkan bubur nasi ayam yang jauh lebih sedap dari nasi. Redha terhadap takdir itu bukan akhir tapi itulah permulaan kehidupan yang lebih baik.



Didik diri untuk merasa cukup dan sentiasa mempunyai keinginan untuk membantu orang lain melalui nikmat, rezeki dan kelebihan yang Allah berikan pada kita. Duit banyak yang kita ada belum tentu kita yang punya sebab mungkin ada yang dibelanjakan untuk membeli-belah atau untuk keperluan kesihatan. Tetapi wang yang disedekahkan kerana mencari redha Allah itu pasti kita yang punya kerana wang itu sebagai bekalan akhirat kelak.



Jadi, tak perlu runsing kerana Allah tak pernah melihat kekayaan atau keturunan kita tetapi Allah melihat apa yang ada dalam hati kita. Rasailah kecukupan dalam kehidupan dengan memenuhi keperluan bukan kehendak. Osemkan! :)

Salam brotherhood,
A.A

Wednesday, 21 August 2013

Urusan Kita Biar Allah Uruskan

Aduh,peningnya kepala!


Ada masalah?

Tekanan?

Kebuntuan?

Hadapi rasa itu semua dengan memohon bantuan pada Allah. Jangan pendam masalah seorang diri sehingga kita sendiri menemui jalan buntu. Jangan biar diri lama-lama dalam kebuntuan...

Jangan berlama-lama dengan selain Allah ... 

Apapun yang ada di hati, maka segeralah serahkan kepada-Nya, diantaranya dengan do'a ini :

Doa agar semua urusan diurus Allah : 


." Yaa Hayyu Yaa Qoyyuum birahmatika astagiits...ashlihlii sya'nii kullahuu walaa takilnii ilaa nafsi thorfata ainin";


'Wahai Allah Yg Maha Hidup, Wahai yg Maha berdiri sndiri mngurus makhlukNya,dg rahmatMu tolonglah saya..
Perbaiki semua urusanku & jangan serahkn kepadaku walau sekejap mata'.

( HR. Nasa'I )

Ingat keinginan, segera serahkan kepada-Nya
Ingat masalah, segera serahkan kepada-Nya
Ingat ancaman/bahaya, segara pasrahkan kepada-Nya
Ingat keluarga, segera berdoa pasrahkan kepada-Nya
Ingat apapun jangan berlama-lama, segera berharap pengurusan-Nya

Jangan berlama-lama dengan selain-Nya, segera pasrahkan total kepada-Nya, yakin dengan segala janji dan jaminan-Nya

InsyaAllah akan segera kita rasakan ketenangan, juga berbagai petunjuk dengan cara-Nya, yang sedar tak sedar akan menuntun kita kepada ikhtiar menggapai pilihan-Nya, jalan keluar terbaik dari Allah.. Sungguh indah dan berkah!


Urusan kita biar Allah yang uruskan. Kita sebagai manusia yang paling penting meluruskan niat dan menyempurnakan ikhtiar (usaha). Yang selebihnya percayalah Allah pengurus terbaik dalam segala urusan manusia :)

Sumber : FB AAGYM