Seronoknya dapat bicara dengan kalamNya! |
“Qul huwallahu ahad.”
“Maksudnya, Katakanlah bahawa Allah itu Tuhan yang Esa.”
Lunak suara kanak-kanak lelaki itu mengalunkan ayat-ayat
Tuhannya yang Satu. Pandangan matanya menatap mushaf yang kelihatan usang.
Kemudian bacaan disambung oleh teman yang duduk di sebelahnya.
Murid-murid lain turut memandang mushaf milik mereka.
Cuba memahami dengan akal dan jiwa suci yang sesuai dengan fitrah manusia.
Tidak ketinggalan ada juga segelintir daripada mereka
yang melilau matanya memandang kiri dan kanan. Angin sepoi-sepoi bahasa lembut
meniup jasad setiap manusia yang ada dalam ruang kelas yang kecil itu.
* * *
Dia menguatkan lagi volume radio di biliknya.
Lentingan suara di luar kamar semakin tinggi. Lelaki itu tidak mahu tahu
apa-apa yang terjadi di luar sana. Dia tidak peduli tentang semua kerana dia
tidak mahu tahu. Dia cuma mahu sendiri. Tanpa sesiapa pun.
“Kalau rasa bosan terperap saja di rumah , jomlah join
kami pergi keluar lepak malam-malam.”
“Daripada kau duduk sedih pasal masalah lebih baik kau
layan cerita-cerita yang best. Aku ada banyak cerita sekarang ni. Engkau
cakap saja nanti bila-bila masa aku boleh saja bagi pinjam pada kau.”
Suara kawan-kawannya tergiang-ngiang dalam fikiran yang
berlari jauh dari realiti.
“Bosan!” Jerit lelaki itu sekuat-kuat dalam hatinya
sambil menghempas tubuh ke tilam empuk yang terletak di tengah biliknya.
“Bump!”
Kedengaran keras bunyi pintu di luar sana. Suasana di
ruang tamu tadi yang kedengaran tegang kian hilang. Sunyi dan hening memenuhi
ruang rumah yang kosong itu sekosong hati penghuninya.
* * *
“Siapa yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”
Cuma ungkapan itu yang menerobos masuk gegendang
telinganya. Kata –kata guru sejarahnya selepas itu bagaikan angin lalu yang
tidak memberi kesan pada mindanya.
“Kalau siapa yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”
“Bagaimana pula kalau orang melupakan tuhannya?”
Shakir memandang lelaki itu. Aneh sekali bunyi soalan
itu.
“Aku tanya engkaulah soalan ni.”
Shakir memandang seketika sebelum mengalihkan pandangan
ke tempat lain. Dia malas menjawab soalan lelaki itu.
Ilham Irsyad. Lelaki itu memang suka bertanya
soalan-soalan yang dia tidak gemari. Meskipun mereka bersekolah dari zaman
kanak-kanak hingga ke alam remaja kala ini namun mereka memang tidak pernah
rapat. Shakir berfikir sejenak.
Silap. Mereka pernah rapat. Suatu ketika dahulu sewaktu
di tadika. Tetapi masa berputar membawa haluan dan cerita tersendiri. Kini,
Ilham Irsyad cuma bayang-bayang yang mengganggu dirinya apatah lagi dengan
soalan-soalan yang dilontarkan kadang-kala membuat darahnya berapi-api.
“Kalau engkau rasa bosan apa yang kau buat Syakir?”
“Woi, kau janganlah kacau best friend aku.” Satu
tepukan hinggap di bahu Ilham Irsyad belum sempat soalannya dijawab.
Lelaki yang bertubuh sederhana besar itu segera mengambil
tempat di sebelah Syakir.
“Daripada kau layan mamat Ilham ni lebih baik kau ikut
aku. Ha…malam ni aku nak kau ikut sekali aku dengan Geng Kucai kumpul depan
jambatan lama.”
“Aku tak nak dengar jawapan kecuali ya daripada kau.
Haha… apa-apa nanti aku contact.” Azril bangun lantas menepuk-nepuk bahu
Shakir tanpa menunggu sebarang jawapan sebelum beredar pergi ke kelasnya yang
terletak bertentangan dengan kelas Shakir.
Ilham Irsyad cuma memandang mereka berdua tapi Shakir
dapat merasakan wajah itu kelihatan tegang.
* * *
“Allahu Akbar!”
“Allahu Akbar!”
“Syahadah, abang gerak ke surau dulu ya. Azan maghrib dah
masuk. Nanti pastikan adik-adik solat maghrib tau.”
Gadis berusia belasan tahun itu mengangguk tanda
memahami.
Motor yang ditunggangnya berhenti betul-betul di belakang
kawasan jambatan lama itu. Pandangannya jatuh pada sekumpulan anak-anak muda
yang masih melepak di kawasan itu meski seruan Ilahi sudah berkumandang dari tadi.
Matanya tertancap pada seorang pemuda yang sederhana
tinggi yang juga duduk bersama kumpulan itu. Perlahan-lahan dia menarik nafas
dan melepaskannya seakan-akan melepaskan luahan yang cukup dalam.
Tanpa menunggu lama , Ilham Irsyad meneruskan perjalanannya
mencari ketenangan hakiki dari Ilahi. Surau yang terletak bersebelahan padang
itu kelihatan agak lengang meski penduduk kawasan sekitar surau itu agak ramai.
Cahaya matahari mula kelihatan samar-samar dan langit
mula diselimuti kegelapan malam.
* * *
“Shakir , aku nak kau cuba benda ni. Mesti hilang semua
tekanan kau.”
“Din, aku mana ada masalah. Apa yang kau nak risaukan
sangat.”
“Eh, kau kawan baik aku. Mesti aku tahu kau ada masalah
sekarang.”
“Aku tak naklah Din. Lagipun, aku keluar lepak pun sebab
aku bosan duduk rumah.”
“Woi Shakir, Din bukannya nak engkau ambil dadah pun.
Cuma rokok sebatang pun susah. Tak macho betullah kau ni.”
Jihan bersuara sambil tangannya menghulurkan sebatang
rokok Dunhill.
“Tak apa. Shakir tak biasa lagi. Macam nilah. Aku bagi
kau satu kotak rokok percuma dengan lighter sekali. Kalau kau rasa bosan
atau stress kau cuba at least satu batang rokok. Mesti lepas kau
rasa baru kau tahu betapa nikmatnya kalau dapat rokok.”
Budin segera meletakkan kotak rokok bersama lighter dalam
kocek baju pemuda itu sambil menghadiahkan segaris senyuman yang sukar ditebak
maknanya.
Kawan-kawan lain memandang sambil ketawa besar.
“Mana adil Budin bagi kau free-free saja. Aku pun
nak juga.”
“Relakslah Jihan. Saudara kita ni mana pernah dapat
rokok. Biarlah.” Budin bersuara sambil tersenyum sumbing.
“Eh, Shakir. Kalau kau nak balik temankan aku sekejap.
Aku nak ke rumah kawan aku tapi jauh sikit dari sini.”
“Budin dengan Jihan kan ada. Kenapa aku pula yang kena
temankan kau?”
“Budin dengan Jihan nak turun pekan nanti. Alah… jomlah
bukannya lama pun.”
“Emm…okeylah tapi kalau engkau lama sangat aku balik
dulu.”
“Ha..macam ni baru kawan namanya.” Shahrul menunjukkan
ibu jari pada temannya itu.
Shakir cuma menunggu di luar rumah. Malas mahu
berlama-lama di rumah orang. Tidak lama, Shahrul keluar membawa satu beg kecil.
“Nah,dalam ni ada macam-macam cerita best. Minggu
lepas aku dah cakap yang kau boleh pinjam cerita-cerita best dari aku.”
“Aku tak minta pun dari kau. Nanti kalau aku nak aku
cakaplah yang aku nak pinjam. Tapi sekarang ni aku tak ada mood nak
tengok cerita-cerita engkau . Faham tak?” Shakir mula mengeraskan suara.
“Cool brother. Muka dah macam ayam berak kapur aku
tengok. Aku tak suruh tengok cerita ni sekarang. Nanti bila-bila kau free
bolehlah kau tengok cerita. Kalau dah bosan tengok baru pulang pada aku. Nanti
aku bagi cerita yang baru.”
* * *
Lelaki itu segera membawa diri ke bilik. Lesu benar
tubuhnya saat itu. Dia menghempaskan tubuhnya di atas katil sambil matanya
memandang kipas yang berpusing-pusing di siling. Fikirannya menerawang entah ke
mana-mana.
Seketika tangannya mencapai kotak rokok dalam poket
bajunya. Rokok. Lighter. Kosong. Tetap kosong.
Dia tetap merasakan perasaan itu. Tidak pernah hilang.
Lantas tangannya mencampak kuat rokok-rokok itu ke dinding biliknya. Beg kecil
di sampingnya segera dicapai. Perlahan-lahan tangan lelaki itu mencapai CD-CD
yang tersembunyi.
“Apa ni?!” Dia segera bangkit dari katil dan memejam mata
beberapa kali melihat CD – CD tersebut.
“CD pornografi.
Aku tak sebodoh dan senaif untuk dipermainkan dengan benda-benda macam
ni.”
Shakir geram lantas membawa beg kecil serta CD dan rokok
yang diterimanya keluar rumah. Dia membuang semua barang-barang itu lantas dibakarnya
di kawasan pembakaran belakang rumahnya.
Matanya memandang bara-bara api yang mula membakar. Hatinya
sebak. Dia memejam mata rapat-rapat.
* * *
Gadis itu menutup mata adiknya dengan kedua tapak tangan.
“Shakir, jangan tengok cerita macam tu. Tak elok.”
“Akak, kenapa tak boleh tengok ? Adik baru nak tengok,
akak dah kacau.”
“Cerita berpeluk-peluk dan berkucupan itu tak elok. Allah
tak suka tau.”
“Kenapa pula Allah tak suka?”
Gadis itu tersenyum mendengar soalan adik kecilnya.
“Okey. Akak bagi satu contoh. Kalau adik pergi tadika
boleh tak adik pergi pakai tuala saja?”
“Isy ,akak ni mestilah tak boleh. Cikgu cakap kena pakai
baju sekolah setiap hari . Mana boleh adik nak pergi pakai tuala saja.”
“Ha…macam tu juga dengan Allah. Bumi ni Allah yang punya.
Ada peraturannya sama juga di tadika ada peraturan yang perlu adik ikut. Kalau
tak ikut mesti cikgu adik marahkan? “
Kanak-kanak lelaki itu mengangguk.
“Kita semua hamba Allah. Jadi kena ikut peraturan Dia
kalau tak nanti Allah murka pada kita.”
“Oh, jadi kalau adik tak tengok cerita macam tu , Allah
tak akan marah pada adik?”
“Betul . Malah Dia akan bertambah sayang pada adik.”
“Seronoknya!”
* * *
Lelaki itu membuka mata.
“Akak kata Allah akan sayang pada adik tapi kenapa Dia
ambil akak dan biar adik seorang.”
“Kenapa akak biarkan adik sendiri macam ni?”
“Adik rasa kosong sangat sekarang ni.”
“Ya Allah, tolong aku!”
Lelaki itu merenung bara-bara api yang mulai padam dengan
pandangan berbalam-balam. Dan malam semakin pekat .
* * *
“Allahu Akbar!”
“Allahu Akbar!”
Azan subuh berkumandang memenuhi hampir setiap ruang.
Lelaki itu bangkit menuju ke kamar mandi. Dia membuka
paip air. Lama dia termangu sebelum dia berniat untuk berwudu’. Untuk pertama
kali dia melakukannya setelah sekian lama dia meninggalkan amalan itu.
Perlahan-lahan air mata yang mengalir bertambah lebat.
Makin kuat esakannya seakan melawan-lawan curahan air dari paip itu.
Subuh berjemaah di surau memang tidak ramai. Lelaki itu
cuma memandang sepi lorong surau dari kejauhan. Dia buntu harus bermula dari
mana. Mengangkat takbir juga sudah beberapa tahun dia tinggalkan. Dia tidak
ingat dari mana harus dia mulakan langkah mendekati Tuhannya.
Dia masih memperhatikan jemaah yang mula bersalam-salaman
dan bersurai keluar dari surau. Lelaki itu segera berundur beberapa langkah.
Takut ada yang menyedari.
Merasa putus asa terhadap diri sendiri membuat dia
berpaling ingin pulang semula ke rumah. Beberapa langkah dia meninggalkan
kawasan itu…
“Eh, kau belum jawab soalan aku lagi?”
Langkah Shakir terhenti seketika.
“Siapa yang melupakan sejarah pasti mengulanginya tapi
kalau siapa yang melupai tuhannya …? Apa pula yang terjadi?”
Lelaki ini memang pelik. Subuh-subuh lagi tanya soalan
yang dia pun sendiri bingung.
“Mana aku tahu. Engkaukan baik dan alim. Engkau sajalah
yang jawab soalan tu. Aku malas nak jawab.”
Ilham Irsyad tersenyum menampakkan giginya yang tersusun
rapi. Untuk pertama kali Shakir senang melihat wajah itu.
“Kalau siapa yang melupai tuhannya dia akan mengulangi
dosa-dosa yang sama sehingga pada satu masa dia sendiri kelelahan dalam dosanya
sendiri.”
“Sesiapa yang diberikan kebaikan nescaya kebaikan itu
dari Allah dan barangsiapa yang ditimpa keburukan itu adalah sebab dari dosanya
sendiri.”
Shakir senyap mendengar. Sentap jiwanya mendengar
ungkapan itu.
“Jomlah ikut aku sembahyang Subuh sekali.” Ilham Irsyad
mengajak dengan hati yang lapang.
“Kau belum sembahyang lagi ke?”
“Aku tunggu engkau masuk dalam surau tapi engkau asyik
berdiri di sini dari tadi tak bergerak. Bukannya nak masuk. Aku yang tunggu ni
terpaksa tahan sakit kaki sebab semut api asyik menggigit dari tadi.”
Shakir mengetap bibir menahan gelak melihat reaksi Ilham
Irsyad.
“Siapa yang suruh tunggu aku?”
“Dahlah, nanti terlepas subuh pula kita berdua ni.” Ilham
Irsyad segera melangkah.
Namun langkahnya terhenti pabila melihat Shakir membatu
seperti tadi.
“Aku tak tahu nak mula dari mana?”
“Semuanya aku dah tak ingat. Cuma pergerakan solat yang
aku hafal.”
Shakir tunduk. Seakan-akan menyembunyikan resah yang
tersimpan.
“Engkau dah ada wudu’?” Ringkas soalan Ilham Irsyad.
Shakir mengangguk perlahan.
“Tak mengapa kita mula dari awal. Seperti di tadika dulu.
Aku akan ajar kau asas solat,okey?”
“Ilham,terima kasih.”
“Dah, aku macam rasa melankolik pula tiba-tiba. Jom!”
Kali ini mereka melangkah bersama-sama seperti gandingan
mereka di tadika sewaktu mereka masih kecil.
* * *
“Sewaktu kemalangan yang meragut nyawa kakak , satu family
tengah tunggu kakak pulang dari airport memandangkan kakak dapat
pulang ke Malaysia selepas peperiksaan akhir tahunnya.”
“Itu pertama kali aku melangkah masuk ICU dengan harapan
yang kakak mampu bertahan untuk terus hidup walau hakikatnya aku sendiri tak
mampu untuk melangkah masuk menapak dalam wad tu. Dan harapan aku punah. Akak
tak mampu bertahan walau sedetik pun . Yang ada depan aku cuma jasad yang kaku.
“
“ Sejak hari tu, keluarga jadi sunyi dan dingin. Aku
tinggal seorang memandangkan kami dua beradik saja. Ujian bagaikan datang bertimpa
bila ayah kena tipu dalam perniagaan. Mak dengan ayah pun mula
renggang.Hari-hari bertengkar. Aku bagaikan tak wujud lagi depan mereka. Aku
ada ke atau tak ada ke mereka tetap buat hal sendiri. Kedinginan yang
mencengkam sangat-sangat.”
“Aku tak tahu nak describe keadaan aku waktu tu.
Aku cuma rasa kekosongan yang amat luas bagaikan tiada hujung.”
Ilham Irsyad mendengar sambil matanya memandang langit.
Sungguh hatinya sebak mendengar bicara temannya.
“Shakir, aku harap kau pegang semula mushaf yang dah lama
kau tinggalkan. Kau masih ingat bacaan Surah Al-Ikhlas waktu di tadika kita
dulu?”
“Surah itulah yang aku tak lupa sampai sekarang mungkin
sebab aku sangat menyukai surah tu. Dulu seronok sebab dapat hafal sekali
dengan makna cuma sekarang dah tak ingat maknanya lagi.”
“Aku gembira sangat sebab hari ni aku dapat semula kawan
aku selepas bertahun-tahun aku kehilangan dia. Lepas ni, bolehlah kita tadabbur
ayat dalam Quran sama-sama.”
“Semangat engkau masih sama Ilham. Dari kecil sampai
sekarang tak berubah langsung.” Shakir tergelak seketika.
“Tak, sebenarnya engkau yang ajar aku untuk semangat
sebab waktu kecil aku cemburu dengan kau . Apa tidaknya sebab kau selalu dapat
baca hafalan surah dengan baik sekali disertai makna. Dari situ aku belajar
cintakan Quran bila engkau ajari aku untuk memahami Quran bukannya menghafal.”
“Tapi itu dulu Ilham. Sekarang aku jahil. Ilmu Quran aku
entah ke mana-mana.”
“Kita cuba semula sama-sama. Masih ada kesempatan dalam
kesempitan.” Ilham Irsyad menghulurkan tangan.
Lantas tangan itu disambut erat dengan genggaman yang
kuat penuh ukhuwwah.
“Kakak, surah apa yang akak tengah baca tu?”
“Surah Al-Ikhlas. Akak suka sangat surah ni. Mendalam
sangat maknanya.”
“Oh…kalau di tadika cikgu ajar adik Surah Fatihah tapi
tak pernah pula dengar Surah Al-Ikhas. Siap dengan makna lagi ya?.”
“Shakir pergi ambil mushaf Shakir dalam bilik nanti lepas
solat asar akak ajar Surah Al-Ikhlas dengan maknanya sekali,ok?”
“Alah…adik nak pergi main bola sepak dengan kawan-kawan lepas
asar ni.”
“Tak apa. Kalau macam tu selepas maghrib kita sama-sama
baca Quran dengan belajar surah Al-Ikhlas.”
“Haa…sayang kakak.”
* * *
Syakir merenung surah Al-Ikhlas. Tiada lagi kakak di
sisinya. Yang ada cuma mushaf yang menemani di sisi.
Perlahan-lahan dia mengucup mushaf sebelum meletakkannya
di atas meja . Mak dan ayah pergi keluar kenduri bersama-sama di hujung kampung
selepas solat isya’. Alhamdulillah kelihatannya permulaan baru yang lebih baik
untuk mereka berdua. Harapannya moga mereka juga menemui ketenangan yang
dinikmatinya saat ini.
Matanya memandang langit. Kelihatan bertaburan
bintang-bintang. Rumahnya sunyi dan sepi namun tidak lagi hatinya. Hatinya kini
penuh dengan bicara. Bicara padaNya melalui kalam yang penuh dengan mukjizat.
Tamat
Imtinan 8.27pm
28/9/2013
23 Zulkaedah 1434H