Friday, 28 September 2012

Aku Juga Mahu Syurga!


'Apa yang kamu inginkan dalam hidup kamu?'
Lidah kelu. Diam membisu.

'Kalau akak, apa pula yang akak inginkan dalam hidup akak?'. Aku bertanya kembali pada senior yang cukup aku hormati. Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan.

'Emm...akak nak syurga.' Senyuman menghiasi wajahnya yang menenangkan disebalik riak keletihan. Baru habis kelas katanya.Tercengang aku dibuatnya. Sungguh jawapannya lain dari yang lain.

'Akak ada dengar satu motivasi agama hari itu, penceramah mengatakan kalau dalam hidup ini kita mahu melakukan apa-apa sahaja kebaikan dalam hidup kita maka jadikan syurga sebagai matlamat utama.'

'Sebagai contoh, kalau orang tanya kepada kamu apa yang kamu target dalam pelajaran kamu, maka katakanlah  kamu inginkan syurga. Apabila kamu menanam matlamat sebegini nescaya jika kamu jatuh sekali dalam pelajaran kamu pasti kamu akan cuba untuk bangkit lagi sebab kamu pasti apa sebenarnya yang kamu inginkan dalam pelajaran kamu. Sebenarnya jatuh berkali-kali dalam hidup ini bukan apa-apa tapi apa yang penting adalah usaha kamu untuk bangkit kembali selepas kamu jatuh.'

Telingaku menangkap setiap butir bicaranya. Seakan-akan meresap ke dalam dasar hati yang kontang.

'Dan apabila kamu menginginkan syurga sebagai matlamat dalam pelajaran kamu, nescaya ilmu yang kamu miliki itu akan kamu manfaatkan sebanyak mungkin untuk diri kamu dan orang lain.'

'Itu salah satu contoh yang akak bagi supaya kamu faham tapi sebenarnya dan sepatutnya memang itulah matlamat hakiki yang perlu ada dalam diri kamu, akak dan orang lain sepanjang kita hidup.'

Berkerut-kerut aku melihat dahinya menunjukkan betapa semangatnya dia apabila berbicara. Aku tergelak kecil melihat keadaan itu tapi sungguh seniorku itu tak kisah.

Apabila aku melihat dia ,sungguh aku merasakan satu momentum yang kuat dalam diri dan sungguh aku harap momentum ini membentuk satu paradigma yang dinamik untuk aku mencapai syurga seperti yang dikatakannya. Insya-Allah.

Thursday, 6 September 2012

Di sebalik kegembiraan itu



Wajah Sakinah yang ayu itu kutatap penuh makna. Ceria. Itulah ungkapan yang tepat untuk aku memperkatakan tentang dirinya. Dalam riang tawanya , sungguh aku lihat suatu kesedihan. Dalam senyuman manisnya, sungguh aku lihat dia sedang bangkit untuk menahan rasa dukanya kala itu. Aduhai teman, kau memang insan bertuah yang dipilih Allah untuk menerima ujianNya apatah lagi engkau tidak pernah pun sekali aku lihat mengeluh. Setiap hari engkau bercerita tentang kehidupanmu sehari-hari dengan riak gembiramu.Wahai hamba Allah , aku tidak tahu bagaimana engkau mampu untuk mendapat kekuatan seperti ini. Ya Allah, kurniakanlah kebaikan padanya dan jadikanlah aku sepertinya!

Sungguh bertuah ibu yang melahirkanmu, anak solehah sepertimu sungguh aku kagumi. Wahai teman, sudah pasti engkau tahu darjat anak yang solehah itu tinggi darjatnya disisi Allah.

"Akan terputus amalan anak Adam apabila dia meninggalkan dunia yang fana ini kecuali 3 perkara:
Doa anak yang soleh, amal jariah dan ilmu yang dimanfaatkan."

Dalam kesibukan dan kekabutan waktu itu, sempat kulihat betapa tenangnya dirimu dan juga engkau tidak lupa lemparkan senyuman tulus itu. Ya Allah, betapa aku melihat nikmat ujian yang Kau beri pada dia. Masya-Allah. Sungguh, ya Allah, Kau mengajar aku erti hidup setiap hari.

Monday, 27 August 2012

Setiap Hari Mencari Cinta




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...

Dalam dunia ini, cinta adalah watak utama yang mewarnai hidup manusia sehari-hari. Cinta kepada keluarga, anak-anak ,harta benda dan macam-macam lagi. Apa makna cinta yang sebenar?

Realiti hari ini, ramai salah sangka tentang cinta. Persepsi cinta yang salah menyebabkan kita hilang arah dalam mencari cinta sebenar. Hidup bertahun-tahun belum menjanjikan kita untuk memahami dan mendapat cinta sebenar ini. Sesungguhnya, Allah merupakan hakikat cinta sebenar yang perlu kita cari tapi laluan menuju cintaNya bukanlah sesuatu yang mudah namun tidak mustahil kita mencapainya.

Rasa cinta itu bukanlah mudah melainkan kita cuba untuk mengenal Allah dengan lebih baik. Percayalah apabila kita cuba untuk mendekati dan mengenalNya dengan baik maka jangan kata akan jatuh cinta sekali tetapi nescaya akan jatuh cinta berkali-kali. Tetapi mungkinkah rasa cinta itu akan bertahan sekiranya kita mencintai makhluk melebihiNya?

Sudah tentu tidak kerana hati manusia ini mudah berbolak-balik dan ada kadang-kala kita lebih terarah kepada nafsu yang sifatnya suka kepada keduniaan semata. Sungguh, hakikat cinta yang sebenar ini perlu dicari dan disemai setiap hari kerana dengan Dia, kita akan menjadi manusia yang mengerti kenapa perlu cinta padaNya. Kita adalah hamba yang diberi  tanggungjawab melaksanakan perintahNya, dan kita juga diberi tugas khalifah untuk melaksanakan amanat yang diberiNya ...sungguh, kita semua bukan hidup di dunia ini semata-mata.

Jalan mencari cintaNya itu ada pelbagai cara, jangan merasa kekurangan jika kita fikir kita tidak layak mendapat cinta Allah. Berusahalah sayang kerana Allah juga amat menyayangimu. Segala ciptaanNya, nikmatNya, anugerahNya, dan ujianNya untuk kita adalah agar kita mengerti hakikat bahawa Allah juga cinta akan hambaNya.


Friday, 3 August 2012

Aku dan mereka...


Betullah dalam hidup ni, manusia pasti banyak belajar dari orang sekeliling . Mengenali mereka membuatkan aku ingin tahu lebih dan lebih lagi. Bersama orang dan masyarakat luar membuatkan diri ini sedar betapa banyak lagi benda yang aku tak tahu dan pelbagai lagi perkara yang kadangkala tak terjangka dalam pemikiran aku.

Semua orang memang fitrahnya inginkan kebaikan cuma jalan setiap orang untuk menuju kebaikan itu yang berbeza. Kadang-kadang aku fikir betapa banyaknya masalah yang aku hadapi tetapi apabila aku bersama orang lain dan masyarakat kat luar sana , baru aku sedar bahawa ada lagi orang yang lebih malang dan aku sepatutnya bersyukur. Bukankah Allah suka pada hambaNya yang bersyukur?

 Orang lain lagi hebat ujian dan cabaran tetapi kenapalah aku ini yang baru ada ujian sedikit sangat dah gelabah tak tentu pasal. Rupa-rupanya aku belum cukup kenal erti hidup yang sebenar-benarnya.

Aku selalu pohon pada Allah agar dikurniakan hati yang teguh dan keikhlasan dalam beramal. Tetapi kenapalah susah juga aku hendak hadapinya bila ujian itu datang. Kenapa???

Ada seorang teman berkata, Allah tetap akan memberi ujian dan dugaan yang sama selagi kita belum mampu  melepasinya. Terdiam aku seketika untuk berfikir tentang apa yang diperkatakannya.

Aku dah dapat tangkap maksudnya. Once aku memohon keteguhan hati dalam beramal then Allah bagi ujian supaya aku dapat melepasinya. Apabila aku belum berjaya melepasinya, maksudnya itulah cabaran untuk aku supaya menjadi orang yang teguh untuk menghadapi dugaaan itu dan seterusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadapi melepasi ujian tersebut. Dan hasilnya insya-Allah kita akan menjadi lebih kuat dan...dan..lepas kita selesai dalam satu ujian kita mestilah bersedia untuk hadapi ujian yang lain pula. Sesungguhnya ujian dan dugaan dari Allah itu menjadikan kita manusia yang lebih kuat. :-)

Monday, 9 July 2012

Apa Warna Kamu?



 Apa warna kamu?
Haa...apa maksud soalan ini?

Pernah kita tanya apa warna sebenar kita sebagai seorang Muslim dan apa warna yang sepatutnya yang ada dalam diri kita sebagai umat yang Allah katakan sebagai umat pertengahan ini?

Colourless...
Ya, itulah warna kita yang sebenar dan yang sepatutnya.

Aduh, makin tak faham...
Tak mengapa cuba telusuri analogi ini...

Pelangi cantik bukan. Untuk menghasilkan warna pelangi yang indah kita tak memerlukan elemen warna- warni itu. Sebagai contoh yang sangat dekat, kejadian pelangi terhasil apabila cahaya terbias dari titik air di udara yang pada hakikatnya kita sendiri tak nampak (  colourless)  tetapi akhirnya mewujudkan warna-warna pelangi yang sangat  menarik.

Begitulah nilai Islam dalam diri setiap Muslim yang tidak kelihatan namun impaknya kita boleh lihat melalui keindahannya dalam akhlak, perbuatan dan percakapan yang begitu menunjukkan bahawa Islam sangat cantik dan tersusun.

Jadikanlah colourless sebagai medium dalam diri kita sebagai hamba Allah supaya kita dapat melihat dan merasai betapa indah dan cantiknya agama Islam ini.