Friday 30 November 2012

Bakteria vs Antibakteria




Kalau zaman kanak-kanak dahulu, apabila kita berlari dan tanpa disangka adakalanya kita terjatuh. Mungkin ada yang menangis kemudian bangun balik dan ada juga kanak-kanak yang jatuh tapi mereka tak menangis malah terus bangkit semula.

Apa kata kita aplikasikannya dalam hidup kita yang umpama roda berpusing. Tidak selamanya kita berada di tempat yang sama. Adakalanya kita berada di atas dan adakalanya juga kita berada di bawah. Yang namanya cabaran dan halangan itulah yang mewarnai hidup kita. 

Seronok bukan apabila cabaran dan halangan ini datang dalam hidup kita. Yang menjadi masalah adalah apabila kita menganggap cabaran dan halangan ini sebagai satu masalah. Oleh sebab itulah, tatkala masalah datang, kita sukar untuk bangun semula dan ada juga yang langsung tak boleh bangun seperti sediakala. Apa kata kita cuba ubah pandangan kita terhadap perkara ini. Mulai hari ini jadikan cabaran itu sebagai satu peluang untuk kita jadi orang yang lebih baik dan bukan sebaliknya.

Analogi yang agak asing di sini, tetapi menarik apabila difikirkan semula. Umpama bakteria dan anti bakteria.  Tahukah anda bahawa anti bakteria terhasil daripada bakteria. Sungguh, tak dapat dinafikan fakta ini. Begitu jugalah kehidupan. 

Kita tak mampu untuk jadi lebih kuat andai cabaran dan halangan itu tak datang dalam hidup. Melalui cabaran dan halangan inilah akan terhasil nilai ketabahan dan kesabaran yang akhirnya membuahkan hasil yang sangat manis. 

Halangan dan cabaran itu kita namakan sebagai bakteria dan dari situ akan terhasillah anti bakteria yang kita rujuk kepada sifat sabar dan tabah untuk menghasilkan pertahanan yang baik. Jadi, bahagia bukan apabila bakteria yang namanya cabaran itu datang dalam hidup kita. 

'Ah, cakap senanglah.'

'Kau tak rasa masalah yang kena pada aku. Kau tak akan faham.'

'Kenapa rasa down sangat-sangat ni?'

'Ah, malaslah aku nak fikir masalah ni lagi. Menyerabutkan kepala otak aku saja.'

Pasti ramai antara kita pernah mendengar luahan seperti ini atau boleh jadi kita sendiri yang mengungkapkan kata-kata di atas. Itu memang perkara yang tidak asing lagi.

Sememangnya pahit dalam menghadapi cabaran tapi ingatlah dalam hidup ini biarlah rasa pahit itu datang dahulu kemudian biarlah di penghujungnya kita bertemu kemanisan. Jangan biar diri kita leka untuk merasakan kemanisan tetapi hakikat penghujung kita bertemu dengan kepahitan. 

Kita orang yang beriman pada Tuhan yang Satu yakni Allah. Destinasi kita di penghujungnya pasti syurga. Maka ingatlah, harga syurga itu mahal dan tiket untuk memasukinya bukanlah satu laluan yang mudah kerana cabaran itu pasti menjadi pengiring setia namun percayalah pada janji Allah.  

Orang yang beriman dan beramal soleh itu tempatnya di syurga kelak. Kebanyakan orang pada hari ini merujuk kepada orang beriman tetapi tidak memenuhi kepada amal soleh. Jadi, apakata kita mulakan langkah bersama-sama dalam dua aspek ini iaitu kita jadi orang yang beriman dan seterusnya aplikasi dalam amal kebaikan. 

'Kau senanglah cakap sebab engkau ada surrounding yang bagus. Mak bapak pun baik. Aku tak macam kau!'

'Alah, orang macam aku ni tak payahlah. Buat baik orang tak terima kalau buat jahat mengata pula.'

'Cukuplah jadi macam ni. Malas nak fikir banyak-banyak.'


Janganlah berfikiran begini. Andai persekitaran tak dapat membantu kita untuk menjadi lebih baik maka apakata kita yang cuba untuk merubah keadaan itu. Dan jangan sekali kita fikir apa kata-kata orang pada kita. Sebulan atau dua bulan pasti mereka akan melupakannya. Jangan lumpuh mendengar kata mereka. Dan jadilah orang yang sentiasa berfikir untuk memperbaiki potensi diri. Tahu tak bahawa kita adalah manusia yang hebat apabila kita mengenal potensi sebenar diri kita.


Jom kita jadi orang yang sukakan cabaran dengan harapan dapat memperbaiki diri. Andai jatuh, jangan give up. JOM kita bangkit semula!




Tuesday 20 November 2012

Brave,Yakin Dan Serba Boleh!

Takut + Hadapi ketakutan= Brave

"Apa nikmat terbesar dalam hidup kamu?"

Lelaki itu betanya kepada anak-anak muda dihadapannya. Masjid itu kelihatan cantik dengan ukiran khat yang cukup unik. Tenang dan mendamaikan menjadi tetamu Allah di rumah-Nya yang sungguh mempesonakan.

Banyak jawapan yang diberikan. Si pemuda berbaju coklat yang berada di hadapan sekali mengangkat tangan.

"Iman dan Islam." Ringkas jawapan pemuda itu.

Kemudian ada beberapa orang pemuda lain yang turut memberikan jawapan masing-masing.

"Nikmat terbesar dalam hidup saya ialah Allah, Tuhan saya."

Jawapan seorang pemuda menarik perhatian lelaki berusia yang bertanya sebentar tadi.

Tersentuh hati kehambaan mendengar jawapan sedemikian.

YA, itulah hakikat penciptaan kita yang sebenar iaitu untuk mengenal Rabb kita dan mengabdikan diri pada-Nya.

Sebagai seorang hamba Allah, kita seharusnya mengenal Allah. Allah yang Maha Mengetahui, yang Maha Berkehendak, yang Maha Pengasih dan Penyayang dan yang Maha Melihat dan Maha Mendengar.

Allah mengetahui bicara-bicaramu,wahai hamba Allah,

"Katakanlah, jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakan, Allah pasti mengetahuinya." Ali Imran-Ayat 29.

Allah memberikan petunjuk dan pilihan ada di tangan kita sebagai hamba-Nya.

"Barang siapa mengkehendaki pahala di dunia ketahuilah di sisi Allah ada pahala dunia dan akhirat. Dan Allah Maha Mendengar , Maha Melihat."

Baiknya Allah!!

"Katakanlah (Muhammad ) "Jika kamu mencintai Allah maka ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." Ali Imran-Ayat 31.

Apabila kita mengenal Allah maka yakinlah dalam setiap pergerakan kita dengan bersandarkan ingatan, usaha dan kekuatan hanya pada Allah.

Percayalah apabila kita meletakkan sepenuh keyakinan pada Rabb, nescaya keyakinan dalam diri kita akan datang dengan sendirinya.

"Ah, aku tak mampu!"

"Ah, aku tak pandai!"

"Ah, aku tak boleh!"

Bahaya penyataan diatas apabila perkataan tersebut tertanam dan bermain di fikiran kita. Penyataan di atas akan mempengaruhi tindakan kita. Percayalah sekali kita berkata negatif, itulah yang akan berlaku kepada diri kita. Sungguh dalaman kita akan mewarnai luaran hidup kita. Fikirkan baik-baik.

Jadi, untuk memulakan langkah keyakinan kita mulai saat ini, ada dua tips yang boleh dikongsi bersama.

Pertama, kita mestilah yakin bahawa kita adalah makhluk sempurna yang Allah cipta. Ingatlah, nikmat yang Allah beri ini adalah untuk kita manfaatkan untuk kemaslahatan bersama.

Kedua, jangan fikir apa pandangan manusia terhadap tindakan kita tetapi fikirkan yang lebih utama iaitu pandangan Allah pada kita.

Kadang-kala kita ingin melakukan sesuatu tindakan tetapi dalam masa yang sama kita asyik berfikir pandangan orang terhadap kita. Jika ingin melakukan sesuatu perkara yang baik dan mengikut syariat, letakkanlah pengharapan pada Allah semata. Biarkanlah apa yang manusia ingin perkatakan kerana sesungguhnya pandangan Allah itu lebih UTAMA.

Jom, kita kenal Allah dengan lebih dekat. Makin dekat makin jatuh cinta rasanya. Itulah Allah, dzat yang Maha Sempurna.