Tuesday 23 October 2012

Allah Berbicara Denganmu

Gadis itu diam namun disebalik wajahnya menggambarkan keresahan. Orang lain disekeliling turut sepi menyedari situasi yang menguasai.

Gadis itu terbongkok-bongkok mencari sesuatu tetapi hampa kerana tidak menemui apa yang dicari. Lantas dia cuba beristighfar kerana takut kemarahan menguasai. Dia duduk sejenak. Kelelahan. Hati mahu menjerit kerana barang yang dicari tidak ditemui. Perlahan-lahan air matanya menitis kerana benci situasi itu. Dia mahu melepaskan kemarahan tetapi dia bukan orang yang sebegitu. Itulah dia apabila buntu dan rasa kesabarannya menipis lalu dia akan menangis. Rasa kebuntuan menguasai.

'Sayang, dalam hidup kita banyak lagi masalah yang perlu kita hadapi. Kalau perkara sebegini sayang tak mampu nak hadapi macam mana hidup kamu pada masa yang akan datang.'

Suara keibuan itu menyentuh hati yang alpa. Gadis itu senyap namun bukan fikirannya. Dia menyedari kekhilafan perilakunya. Perlahan-lahan dia memejam mata erat. Mencari ketenangan kepadaNya.

'Sabar dan ikhlas itulah Islam. Allah sedang berbicara denganmu supaya ikhlas dan sabar.'

'Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.'

'Tasnim, sabarlah...di mana-mana persimpangan hidup kita pasti ada ujian yang mengiringi.'

Semua kata-kata itu menjengah fikirannya. Memang dia mengakui mudah untuk menuturkan dan mengucapkan sabar namun seseorang akan mengetahui hakikat kesabaran itu apabila dia berhadapan dengan situasi yang bisa menggugah pendirian diri dan saat itu iman perlu bersuara. Kerana iman sahaja yang mampu membentuk kesabaran yang hakiki dalam diri.

Kesabaran bukan satu perkara yang mudah tapi gadis itu tahu bukanlah ia satu perkara yang mustahil. Ingatlah, janganlah kamu bersedih jika kamu beriman dan jangan takut dan sedih, sesungguhnya Allah bersama kamu.






Tuesday 9 October 2012

Tanggungjawab itu...melahirkan cinta.

'Akak doakan yang terbaik untuk kamu dalam organisasi ini. Semoga kamu dapat memberi dan berbakti pada kawan-kawan dan penduduk bumi ini.'

Tasnim memandang wajah itu penuh pengertian. Riak wajah yang tenang itu menaut lembut hatinya yang kontang.

Sebelum berlalu Tasnim sempat melihat akak itu menyebut sesuatu ungkapan, walaupun perlahan dia dapat menafsir apa yang ingin disampaikan oleh seniornya.Semakin kuat rasa getaran itu dalam hatinya. 

'Tasnim, help the ummah...'

Getaran itu semakin kuat memalu hati apabila sedar mandat yang dipegang bukan satu tugas enteng.

'Apakah aku layak memegang mandat dalam organisasi ?'

Mandat yang bukan kecil tapi satu mandat untuk membantu diri dan orang lain.

Sejenak datang satu peristiwa dalam benaknya. Satu dialog yang cukup bermakna.

'Kalau kita nak tunggu diri kita jadi seperti manusia yang sempurna, alamatnya tak ada orang yang nak bergerak untuk jalankan tanggungjawab untuk menjadi seorang daie.Tak kira siapa pun kita dan di mana sekalipun kita jejakkan kaki, hakikatnya kita adalah seorang daie walaupun kita kadangkala menafikannya atas sebab rasa tidak layak dan kekurangan diri.'

'Frankly, someone can not help everyone but we've to remember that everyone can help someone.Thinking about that because our ummah getting worse. We've to help them.'

Suara dalam khayalannya hilang tatkala laungan azan Asar menyapa lembut telinganya. Perlahan dia menghela nafas berat. 

'Ya Allah, aku perlukan Engkau.' Rasa itu diungkapkan dalam sudut hatinya yang paling dalam.

Beberapa bulan berlalu, matahari terbit dan terbenam, bulan menampakkan diri kala malam dan menghilang kala siang harinya.Sungguh masa berlalu tanpa mengenal sesiapa.

Sesi diskusi petang itu cuma antara dia dan naqibahnya. Terasa janggal kerana ini kali pertama usrah berdua tapi Tasnim tahu ada sesuatu hikmah di situ.Hikmah itu cuma Allah yang Maha Mengetahui.

'Akak, apabila saya pegang satu amanah itu saya tak rasa saya buat kerana cinta atau sayang tapi atas dasar tanggungjawab itu sendiri sehingga saya rasa adakah betul cara saya.Kadangkala tarikan untuk melakukan kebaikan itu lebih kepada kesedaran tanggungjawab dan bukannya cinta. Orang mengatakan cinta hakiki itu adalah cinta pada Allah tapi apabila saya ingin melakukan amal baik kerana Allah itu amatlah sukar kerana saya rasa perasaan cinta itu berat untuk hadir dalam jiwa saya.'

Gadis itu tertunduk. Rasa itu pedih dalam dirinya.

Naqibah yang duduk berhadapan dengannya setia mendengar . Dengan lembut naqibah itu berbicara,

'Tasnim, kadang-kadang kita tak perlu mencari hakikat cinta itu. Cinta itu abstrak dan tergambar dalam bentuk tanggungjawab yang kita laksanakan. Cinta tak semestinya sesuatu yang tenang tanpa pergolakan, bahkan cinta yang sebenar adalah saat kita terus bertahan dengan ujian yang mendatang.Tanpa kita sedar, kita sedang mencintai hal itu.'

Tasnim menangkap setiap butir bicara naqibahnya dengan jelas. Suasana tenang petang itu seakan-akan memahami denyut hatinya.Petang itu berlalu dengan ingatan dan nasihat yang bermakna. Sungguh, jalan kehidupan ini masih panjang dan sukar dijangka.

*Wake up guys, lets strive for the ummah !