Tuesday 23 October 2012

Allah Berbicara Denganmu

Gadis itu diam namun disebalik wajahnya menggambarkan keresahan. Orang lain disekeliling turut sepi menyedari situasi yang menguasai.

Gadis itu terbongkok-bongkok mencari sesuatu tetapi hampa kerana tidak menemui apa yang dicari. Lantas dia cuba beristighfar kerana takut kemarahan menguasai. Dia duduk sejenak. Kelelahan. Hati mahu menjerit kerana barang yang dicari tidak ditemui. Perlahan-lahan air matanya menitis kerana benci situasi itu. Dia mahu melepaskan kemarahan tetapi dia bukan orang yang sebegitu. Itulah dia apabila buntu dan rasa kesabarannya menipis lalu dia akan menangis. Rasa kebuntuan menguasai.

'Sayang, dalam hidup kita banyak lagi masalah yang perlu kita hadapi. Kalau perkara sebegini sayang tak mampu nak hadapi macam mana hidup kamu pada masa yang akan datang.'

Suara keibuan itu menyentuh hati yang alpa. Gadis itu senyap namun bukan fikirannya. Dia menyedari kekhilafan perilakunya. Perlahan-lahan dia memejam mata erat. Mencari ketenangan kepadaNya.

'Sabar dan ikhlas itulah Islam. Allah sedang berbicara denganmu supaya ikhlas dan sabar.'

'Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.'

'Tasnim, sabarlah...di mana-mana persimpangan hidup kita pasti ada ujian yang mengiringi.'

Semua kata-kata itu menjengah fikirannya. Memang dia mengakui mudah untuk menuturkan dan mengucapkan sabar namun seseorang akan mengetahui hakikat kesabaran itu apabila dia berhadapan dengan situasi yang bisa menggugah pendirian diri dan saat itu iman perlu bersuara. Kerana iman sahaja yang mampu membentuk kesabaran yang hakiki dalam diri.

Kesabaran bukan satu perkara yang mudah tapi gadis itu tahu bukanlah ia satu perkara yang mustahil. Ingatlah, janganlah kamu bersedih jika kamu beriman dan jangan takut dan sedih, sesungguhnya Allah bersama kamu.






1 comment:

  1. salam.bila terbaca post saudari teringat saya kepada seorang sahabat yang cukup penyabar.. semoga beliau dalam lindungan Allah selalu.. amin..

    ReplyDelete