Monday 25 November 2013

Bekalan Dakwah


Hidup untuk dakwah.

Kalau berdakwah memang semua orang mampu untuk melakukannya tetapi cinta akan dakwah itu sesuatu yang bukan semua mampu untuk merasainya.

Cinta itu perlu pengorbanan masa, harta dan juga jiwa seorang mukmin itu.

Juga Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta
mereka dengan memberikan surga untuk mereka.Mereka berperang pada jalan Allah; lalu
mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari
Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. 


Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat,
yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu." 


[QS.At-Taubah:111-112]


Kita para daie hari ini perlu sentiasa bersedia kerana dakwah itu menuntut lebih dari yang kita ada. Masa lapang kita, harta kita , dan paling penting jiwa -jiwa yang merindui jalan dakwah ini.


Sesungguhnya bukan dakwah yang memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukan dakwah. Jangan di biarkan dakwah kita kontang dan kering. 


Jadikan 'Q' itu sebagai bekalan terbaik sepanjang menelusuri jalan warisan anbiya' ini.


Q itu merujuk kepada Quran. Apa makna seorang daie tanpa Quran?


Pesanan dan taujih dari Allah lah bekalan dan tunjang kekuatan dalaman dan ruhiyah terbaik sepanjang zaman. Isilah masa meski hanya sehelai muka surat Quran dalam hidup sehari-hari. Agar hati dalam dadamu hidup dengan ingatan dari kalamNya.


Fahami dan tadabburlah peringatan dan nasihat dari Rabb yang Maha Kuasa. Dia yang paling mengerti dan memahami apa yang berada dalam hati manusia. Dia juga yang paling memahami kemampuan dan kadar iman seorang hambaNya. Jalan dakwah ini pasti menjanjikan kebahagiaan meski kesempitan. Dan rasa kebahagiaan itu hadir saat kita tahu tatkala kita hampir putus dan tidak punya sesiapa, kita masih sedar bahawa kita ada Allah dan kita kepunyaan Allah


Q juga boleh rujuk kepada qawiyy. Yang merujuk kepada maksud kekuatan. Seorang daie itu perlu kuat dari segi kesihatannya, mindanya dan spiritualnya.


Bagaimana seorang daie mahu mengajak orang lain untuk sama-sama berjalan atas landasan dakwah tatkala dia juga mudah lemah semangatnya, mudah lemah keinginannya dan juga lemah pemikirannya?


Azam yang lemah tidak membantu untuk membentuk keinginan itu terwujud. Azam itu perlu kuat disusuli usaha dan tawakal yang tidak putus-putus mengharap pada RabbNya. 


Q juga merujuk kepada qudwah. Qudwah itu bermaksud contoh atau role model. Daie perlu peka bahawa seorang daie itu perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik. 


Bagaimana dia mampu menarik hati mad'u ( orang yang di dakwahinya) andai dia tidak langsung menunjukkan contoh dan ikutan yang baik.


Contoh, seorang itu bersemangat mengajak ke arah kebaikan atau bersegera dalam mengajak orang lain membuat kebaikan tetapi dia sendiri dalam masa yang sama, selalu subuh lambat atau 'subuh gajah'. Ini perlu diperhatikan agar nilai akhlak dan aqidah yang mantap menghiasi diri sang daie terlebih dahulu. Atau kata lain, seorang daie itu perlu mengislahkan diri (menambahbaik) sebelum mengislahkan orang lain.


Q lain boleh merujuk pada Qiblat. Yakni tujuan seorang daie walau di lapangan mana dia berada, dia perlu qiblatkan hati dan amalnya hanya untuk Allah. Kadangkala hati ini selalu berbolak-balik di sebalik nikmat dunia yang mengelabui akhirat. Inilah peranan qiblat iaitu melalui cara tajdid niat (memperbaharui niat). Tajdid niat ini bukan berlaku pada permulaan sahaja tetapi dalam seluruh fasa hidup memang memerlukan tajdid niat sentiasa.


Q seterusnya merujuk pada qalbun iaitu hati. 


Bagaimana dia mampu merasai kemanisan berdakwah andai tiada qalbu dalam dakwahnya?


Hidupkanlah qalbumu dengan sentiasa ingati Allah. Sesungguhnya maka apabila hati baik, maka baiklah seluruhnya.


Rasul mengingatkan :


“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” 


(Riwayat Imam al-Bukhari.)


Dalam hadis lain:


Dari Abu Hurairah, Abdurrahman bin Shakhr radhiyallahu’anhu, dia mengatakan bahwa Rasulllah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda


“Allah tidak melihat fizik dan rupa kalian, akan tetapi Allah melihat hati [dan amal perbuatan] kalian.” 


(HR. Muslim no.2564)


Q yang seterusnya merujuk kepada qorinah iaitu kawan atau teman. Dalam jalan dakwah ini kita sentiasa memerlukan sahabat dan teman yang soleh yang mampu ingatkan kita padaNya selalu kerana kita perlu sedar bahawa jalan dakwah bukan jalan yang dihiasi karpet merah. 


Tetapi jalan dakwah ini adalah legasi dari jalan para nabi-nabi terdahulu yang sentiasa penuh dengan ranting-ranting halangan yang kadangkala menyakitkan. Maka sokongan dalam jalan dakwah ini sememangnya memerlukan orang-orang yang merupakan sahabat yang akan selalu bersama-sama menyokong dalam jatuh bangun sepanjang jalan dakwah ini.


Q yang terakhir adalah 'qaryah' yang bermaksud kampung. 


Seronok tak kalau kita dapat balik kampung?



Kebanyakan kita pasti rasa seronok dan bahagia . Seorang daie pun perlu begitu juga. Kampung di sini merujuk kepada syurga yang kekal abadi. Sungguh kita bukan orang dunia tetapi kita adalah orang akhirat yang menumpang di dunia untuk mencari bekalan untuk pulang ke kampung halangan kita iaitu negeri akhirat.

Motivasi syurga itu satu janji Allah untuk hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Daie itu perlu dan sentiasa cuba untuk merasakan manisnya syurga Allah tatkala manusia lain berpusu-pusu mencari syurga dunia yang sementara. Persiapkanlah bekalan sebaiknya untuk pulang ke kampung halaman yakini syurga yang tiada tandingnya di samping dengan harapan dapat berjumpa Allah, rasulullah dan sahabat serta orang-orang yang shalih di sana.


Hidupkan jiwa daie kerana ramainya masyarakat yang belum menikmati nikmatnya mengenal Islam. Jadilah seperti buah utrujjah yang rasanya manis dan berbau harum. Sebarkanlah islam agar keharumannya tersebar ke seluruh dunia dan di mana sahaja dakwah kepada Islam itu mengalir.

Moga Allah ketemukan kita di tempat yang lebih baik. I.Allah...