Friday 28 September 2012

Aku Juga Mahu Syurga!


'Apa yang kamu inginkan dalam hidup kamu?'
Lidah kelu. Diam membisu.

'Kalau akak, apa pula yang akak inginkan dalam hidup akak?'. Aku bertanya kembali pada senior yang cukup aku hormati. Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan.

'Emm...akak nak syurga.' Senyuman menghiasi wajahnya yang menenangkan disebalik riak keletihan. Baru habis kelas katanya.Tercengang aku dibuatnya. Sungguh jawapannya lain dari yang lain.

'Akak ada dengar satu motivasi agama hari itu, penceramah mengatakan kalau dalam hidup ini kita mahu melakukan apa-apa sahaja kebaikan dalam hidup kita maka jadikan syurga sebagai matlamat utama.'

'Sebagai contoh, kalau orang tanya kepada kamu apa yang kamu target dalam pelajaran kamu, maka katakanlah  kamu inginkan syurga. Apabila kamu menanam matlamat sebegini nescaya jika kamu jatuh sekali dalam pelajaran kamu pasti kamu akan cuba untuk bangkit lagi sebab kamu pasti apa sebenarnya yang kamu inginkan dalam pelajaran kamu. Sebenarnya jatuh berkali-kali dalam hidup ini bukan apa-apa tapi apa yang penting adalah usaha kamu untuk bangkit kembali selepas kamu jatuh.'

Telingaku menangkap setiap butir bicaranya. Seakan-akan meresap ke dalam dasar hati yang kontang.

'Dan apabila kamu menginginkan syurga sebagai matlamat dalam pelajaran kamu, nescaya ilmu yang kamu miliki itu akan kamu manfaatkan sebanyak mungkin untuk diri kamu dan orang lain.'

'Itu salah satu contoh yang akak bagi supaya kamu faham tapi sebenarnya dan sepatutnya memang itulah matlamat hakiki yang perlu ada dalam diri kamu, akak dan orang lain sepanjang kita hidup.'

Berkerut-kerut aku melihat dahinya menunjukkan betapa semangatnya dia apabila berbicara. Aku tergelak kecil melihat keadaan itu tapi sungguh seniorku itu tak kisah.

Apabila aku melihat dia ,sungguh aku merasakan satu momentum yang kuat dalam diri dan sungguh aku harap momentum ini membentuk satu paradigma yang dinamik untuk aku mencapai syurga seperti yang dikatakannya. Insya-Allah.