Tuesday 11 December 2012

Mereka Pemburu Jannah



Aku meletakkan beg yang kusandang atas kerusi kecil di sudut meja belajar. Perlahan mata menatap kalendar buat seketika. Esok sudah masuk tahun baru islam, Maal Hijrah kalau ikut perkiraan tarikh dalam kalendar umat islam. Banyak yang menerpa dalam fikiran. Apa yang harus aku perbaiki dengan umur yang hampir mencecah 20 tahun. Apa yang sudah aku lakukan dalam tempoh hidup saat ini. Umph, rasanya cukup kelat untuk menjawab soalan-soalan yang bertandang secara bertubi-tubi.

 Keesokan harinya, alhamdulillah Allah bagi aku peluang untuk membuka mata lagi. Sungguh, nikmat yang tak terungkap. Pelbagai rancangan televisyen yang terpampang namun hatiku terdetik untuk melihat siaran berita  sungguhpun aku bukanlah peminat terhadap siaran berita. Ah, barangkali keinginanku untuk berubah ke arah yang lebih baik tanpa disedari. Kalau sebelum ini, berita adalah siaran yang paling aku tolak ketepi dan semestinya hiburan yang menjadi pilihan tetapi aku sedar aku adalah hambaNya yang diberi nikmat 24 jam yang seharusnya aku gunakan dengan cara yang bermanfaat.

Tanganku pantas menggosok baju sambil mata menatap skrin tv sekali-sekala. Permulaan untuk memfokuskan minat terhadap siaran berita ni bukanlah suatu yang menyeronokkan namun pergerakan tanganku terhenti saat laporan berita luar negara menyusul. Palestin!

Sungguh, sudah lama rasanya aku tidak mengambil tahu tentang mereka. Israel melancarkan serangan ke atas Gaza tatkala umat islam menyambut tajun baru islam! Satu tindakan yang melampaui batas.

Dan kusangka serangan sampai disitu sahaja tetapi anggapanku ternyata meleset sama sekali. Serangan dilancarkan selama lapan hari ke atas wilayah Gaza. Wilayah kecil itu terkena bedilan bom dan peluru yang dilepaskan oleh tentera laknat zionis Israel. Ya Allah, tangisan itu berkumandang lagi seakan tiada akhir, darah syuhada membasahi lagi tanah yang diberkati Allah, Palestin.


Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan wanita. Ah, liciknya engkau zionis Israel! Engkau banyak membunuh kanak-kanak kerana engkau takut mereka akan menjadi generasi yang akan membebaskan Palestin kelak. Tetapi engkau lupa satu perkara bahawa tatkala engkau membuat tipu daya Allah juga membuat perkara yang sama sedang engkau tidak menyedarinya.

Dikala engkau membunuh ramai kanak-kanak, ramai lagi wanita Palestin yang melahirkan generasi yang akan membebaskan Palestin. Ramai lagi tentera Allah yang menanti untuk berjuang membebaskan Palestin. Kanak-kanak Palestin kurasakan lebih matang menghadapi hari-hari mereka. Tiada khayalan yang mengelabui mata mereka seperti kanak-kanak di tempat lain. Tiada hiburan dan drama asyik yang mengisi waktu mereka. Mereka adalah manusia terpilih diantara banyak manusia lain.

Cuma dua tekad sedari dari kecilmu samada membebaskan Palestin atau mati syahid. Wahai rakyat Palestin, engkau dalam kesusahan tetapi aku tak melihat pengemis di wilayah Gaza. Tidak ada! Sungguh, aku yang berhutang pada engkau kerana engkau berjuang bermati-matian untuk mempertahankan bumi Palestin untuk seluruh umat islam. Ya, kami seluruh dunia yang sebenarnya berhutang denganmu. Segala bantuan dan pertolongan dari serata dunia kala ini  memang layak untuk engkau peroleh meskipun umat islam tahu kau tidak pernah meminta untuknya.

Al-Quds, Gaza, Palestin merujuk pada satu tempat. Tempat yang di dalamnya terdapat ramai pemburu jannah yang tak pernah gentar. Allahuakbar!





No comments:

Post a Comment