Thursday, 10 January 2013

Dia Hero Selamanya

"Barat mendesak kami menghentikan penentangan. Mereka tidak menyuruh penceroboh-penceroboh itu meninggalkan tanahair kami. Sebaliknya, menyuruh kami menyerah sahaja dan menyokong penjajahan. Pembunuhan dan pembuangan orang Palestin bukanlah keamanan yang sebenar."

-Sheikh Ahmad Yassin-


KASIH SAYANG ITU MENGUATKAN



Siapakah Sheikh Ahmad Yassin ini?

Beliau adalah Bapa Intifadah Palestin yang meniup semangat anak-anak muda dan rakyat Palestin untuk bangkit menentang Israel yang tidak berperikemanusiaan.

Jom kita telusuri peribadi beliau yang sangat menggegarkan hati dan jiwa kita sebagai seorang Muslim.

Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Jora, daerah Majdal di Wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938.

Beliau dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza tatkala pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin.

Beliau seorang pelajar yang cemerlang di sekolahnya dan amat disenangi oleh guru-guru. Tambahan pula, beliau juga ahli sukan yang aktif di sekolahnya. Namun pada zaman remajanya beliau telah ditimpa kemalangan sewaktuterjatuh ketika sedang melakukan riadah.

Kemalangan ini telah menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya. Yang perlu kita pelajari di sini adalah keadaannya yang lumpuh itu tidak sekali-kali menghalang beliau meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik dan aktiviti islam.

Tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Ain Shams di bumi Kaherah, Mesir. Namun, pengajiannya di sana tidak sempat ditamatkan kerana beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir akibat penglibatannya dengan Ikhwanul Muslimin.

Lebih kejam lagi, beliau dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir sebelum menamatkan pengajiannya. Ujian ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan itu bagi memperjuangkan Islam dan dakwah Islam.

Kembalinya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana Sheikh Ahmad Yassin bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai seorang guru bahasa Arab dan juga khatib di sana.

Pembunuhan Sheikh Ahmad Yassin merentap hati penduduk Islam seluruh dunia yang merasakan suatu kehilangan yang sangat berharga. Sesungguhnya Semenanjung Gaza menyaksikan jasa beliau sebagai pekerja kebajikan dan pendakwah yang gigih mendidik remaja dan para pemuda dengan didikan Islam.

Peristiwa yang merenggut nyawanya itu berlaku pada 22 Mac 2004. Beliau ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Masjid Akademi Islam selepas solat subuh.

Secara tiba-tiba, tiga buah helikopter tentera rejim zionis Israel menyerangnya dengan tiga peluru berpandu. Salah satu daripadanya jatuh tepat ke atasnya sehingga beliau menemui ajal sebagai seorang syahid .

Malah perkara yang menyentuh hati , lima minit sebelum kejadian yang berlaku , anak beliau Abdul Ghani yang juga merupakan pengiringnya yang terselamat dari serangan itu ) telah berkata pada ayahnya:

"Ayah, di luar kedengaran bunyi helikopter yang ingin memburumu..."

Lantas si ayah menjawab:

"Biarkanlah, aku juga sedang menantinya di sini!"

Beliau adalah ikon jihad Palestin di zaman moden ini. Walaupun keadaan dirinya lumpuh dan tidak mengizinkan beliau untuk turut serta bersama para mujahidin , namun itu bukanlah alasan untuk tidak menyertai usaha jihad untuk membebaskan Palestin.

Beliau menyerahkan hartanya , dirinya, dan pemikirannya untuk gerakan jihad di Palestin.

Andai Sheikh Ahmad Yassin lebih mementingkan nyawanya dan memilih untuk berada dalam keadaan selesa, nescaya beliau tidak akan pergi menunaikan solat berjemaah di masjid apatah lagi solat subuh. Jika kehidupan di dunia menjadi matlamatnya, sudah tentu beliau akan berpindah rumah ke rumah kerana takut dikesan oleh Israel.

Namun, beliau memilih untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat dan ditetapkan ajalnya telah sampai setelah beliau menunaikan Solat Subuh. Beliau menemui tuhannya yakni bertemu Allah dalam keadaan berwuduk , setelah selesai rukuk dan sujud kepadaNya.

" Dan mereka yang terbunuh di jalan Allah, amalan mereka tidak akan sia-sia. Allah akan memberi mereka petunjuk dan memperbaiki keadaan mereka dan Allah telah memasukkan mereka ke dalam Syurga yang Dia telah khabarkan (tentangnya) kepada mereka."

Surah Muhammad 4-6


Wahai teman-teman yang aku sayangi kerana Allah, janganlah kita memandang isu Palestin sekadar enteng sahaja tetapi ia adalah isu umat islam. Jangan dilupakan juga umat islam di Syria dan seluruh dunia. Janganlah kita membiarkan diri kita alpa dan lena dalam dunia kita sahaja.

"Sesungguhnya,mereka sedang lena di dalam kemabukan mereka"

Surah al-Hijr: ayat 72

Seorang penyair moden mengungkapkan tentang perihal Syeikh Ahmad Yassin:

Kerusi rodanya hanya mampu bergerak dalam ruang yang terbatas

Telah membuka di hadapanmu ufuk dan zaman yang luas

Ia (kerusi roda) telah mengajar manusia erti perlawanan dan bukannya

Seperti kerusi-kerusi lain (pemimpin lain) yang lari ketakutan

Dia (Syeikh) menikmati kelazatan sebuah kematian dan kebenarannya

Dalam perjuangan menjadi contoh dan ingatan



MEMANDANGNYA MELAHIRKAN RASA KASIH SAYANG YANG KUAT


Akhir kata dariku,
Walau di mana pun kita berada ingatlah kita ada Allah.

Salam sayang untuk umat islam :)

Kasih Sayang Itu Mengeratkan...


Tuesday, 8 January 2013

Niat Yang Menggegarkan!


Rasakan getaran niatmu...



"Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabbnya." (Al-Kahfi :110)


Syaikh Ibnu Utsaimin mengatakan bahawa niat tempatnya di hati dan tidak memiliki tempat di lisan dalam segala amalan. Sesungguhnya Allah mengetahui niat hamba. Boleh jadi hamba melakukan satu perbuatan yang dilihat oleh manusia sebagai amal salih, tetapi sebenarnya amalnya rosak. Niatlah yang merosakkannya.

Sungguh, Allah mengetahui apa yang terdetik di hati dan pada hari kiamat nanti manusia tidak diberi balasan kecuali apa yang ada dalam hatinya.


"Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur, dan dilahirkan apa yang ada dalam dada? Sesungguhnya Rabb mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka." (Al-'Adiyat:9-10)


Apabila kita berniat mencari redha Allah dan kehidupan akhirat dalam setiap amal perbuatanmu pasti kita akan mendapatkannya tetapi tatkala kita meniatkannya untuk mengejar dunia, berkemungkinan kita memperolehnya dan berkemungkinan juga kita tidak akan memperolehnya.

Dengarkanlah perkataan Abdullah Bin Mas'ud:

Ucapan tak berguna kecuali diiringi perbuatan. Ucapan dan perbuatan tak berguna kecuali diiringi dengan niat dan niat juga tak berguna kecuali sesuai dengan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Mari kita mempraktikkan niat secara jelas dan nyata dalam melakukan aktiviti setiap hari. Antaranya:

1)  Niat saat bangun tidur untuk melaksanakan solat subuh.

Waktu bangun ini perkara yang tidak harus dilupakan adalah berdoa pada Allah atas nikmat yang di beri. Semoga tidur dapat menjadikan kita manusia yang sihat dan bersemangat untuk menjadi insan berguna.

2) Niat saat masuk mandi dan keluar kamar mandi.

Melalui aspek ini, kita perlu sentiasa berniat untuk membersihkan diri. Bukan ke kebersihan sebahagian daripada iman?

3)  Niat saat makan dan minum

Ha..waktu ni jangan lupa untuk mensyukuri nikmat Allah . Banyak pahala dengan selalu bersyukur.
Seronoknya!

Kesimpulannya...

Niat dapat mengubah arah perjalanan dan usia anda semuanya menjadi milik Allah.Wasalam.



Tuesday, 1 January 2013

Dalam Kemurahan hati


Perkongsian yang memaknakan kehidupan


Allah sayang orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain. Sungguh, segala yang kita miliki pada saat ini adalah milik Dia yang sempurna. Jadi, janganlah sekali-kali kita menjadi orang yang kikir dalam aspek yang kita ada saat ini seperti ilmu mahupun wang ringgit.

Ada lima perkara dalam hidup kita yang berkait rapat dengan sifat murah hati:

Jom kita telusuri satu persatu:-

1)Pertama :  (fizikal)

Kita dianugerahkan tubuh badan yang sihat. emm, apa yang kita boleh lakukan? (Fikir sejenak).
Bagi orang yang memiliki tubuh badan yang sihat, boleh kita gunakan nikmat ini untuk menolong insan lain dari segi kemampuan fizikal meskipun sekecil-kecil aspek seperti mengangkat barang.

2)Kedua:  (kasih sayang)

Sejujurnya, kita tidak boleh memberi kasih sayang andai kita sendiri tidak banyak mengasihi orang lain. Makna di sini adalah jika kita tidak banyak mengasihi orang lain bagaimana Allah hendak mengasihi kita?? (Tanya diri) Orang yang tidak mendapat kasih sayang Allah hatinya keras tiada perasaan maka mustahil untuk dia memberikan kasih sayang kepada orang lain.

Kita perlu mencontohi akhlak rasulullah yang terkenal dengan kemurahan hatinya mengasihi semua makhluk Allah yang lain dengan menyayangi diri kita sendiri terlebih dahulu. Kemudian barulah kita dapat memberi kasih sayang kepada orang lain dengan berkat kasih sayang daripada Allah kepada dirinya.

3)Ketiga:  (kerohanian)

Jika kita seorang yang berilmu lebih-lebih lagi ilmu agama maka kita gunakan untuk menolong orang lain supaya dekat dengan Allah. Sia-sia jika kehidupan ini jika kita tidak melakukan 'amar ma'aruf nahi mungkar' dengan menyebarkan ilmu agama sehingga semua orang faham dan mengamalkannya dalam kehidupan.

4)Keempat:  (kewangan)

Jika kita memperoleh rezeki dan nikmat yang banyak maka jangan sesekali kedekut untuk menghulurkan bantuan dengan harta yang kita ada. Harta yang kita ada adalah milik Allah.

5)Ilmu:  (ilmu)

Orang yang mempunyai ilmu, tidak kisah dalam bidang apa-apa pun jangan sekali berkira dengan ilmu yang ada. Berusaha untuk menyebarkan ilmu dengan apa jua cara dan tindakan agar dapat membantu orang lain memajukan diri dan masyarakat terutamanya.

Kesimpulan;

Lima perkara tadi menentukan kemurahan hati dengan sentiasa memberi tanpa mengharapkan balasan. Bermurah hatilah kepada sesiapa pun agar mendapat ganjaran di akhirat nanti, insyaAllah.



Thursday, 27 December 2012

Bagaimana Tarbiyah Mengajar Kita 1

Tarbiyah bukanlah segalanya tetapi semuanya bermula dengan tarbiyah...

Assalamualaikum, saudara dan saudari seislamku. Harapnya kalian baik-baik sahaja walau di mana pun kalian berada.

Sungguh pada hari ini, saat ini, Allah telah memberikan kita nikmat iman dan islam. Allah telah memilih kita sebagai umat islam dari jumlah orang yang begitu banyaknya di muka bumi ini. Tidakkah kita seharusnya menjadi hamba yang bersyukur?

Adakah kita hanya membiarkan diri kita pada tahap ini, sekadar biasa sahaja? Berpuas hati pada tahap kita sekarang!

Tidakkah kita seharusnya sentiasa meningkatkan tahap ilmu, iman dan akhlak. Kalau bukan kita siapa yang akan meningkatkan tahap ketiga-tiga aspek ini? Ibu kita atau bapa kita? Atau barangkali teman-teman kita?

Sudah tentu tidak bukan! Jadi mari kita kenali satu perkara penting dalam hidup kita sebagai hamba Allah yang dijadikan untuk menjalankan fungsi sewajarnya.

TARBIYAH DZATIYAH.

Ha, apa maksud sebenar tarbiyah dzatiyah ni?

Tarbiyah Dzatiyah ni adalah satu sarana tarbiyah (pembinaan), yang diberikan orang Muslim atau Muslimah kepada dirinya sendiri untuk menyemai keperibadian islamik yang lengkap dari segala aspek samada ilmiah, iman, akhlak, sosial dan yang sebagainya, dan naik tinggi ke peringkat kesempurnaan sebagai manusia.

Aduh , tak fahamlah!

Tak mengapa ,dalam penyataan yang mudah,
Tarbiyah Dzatiyah adalah tarbiyah seseorang terhadap dirinya sendiri.( Tak melibatkan orang lain)

Penting sangat ke tarbiyah dzatiyah ni?

Hmm..penting dan sangat penting. Jom kita lihat kenapa tarbiyah dzatiyah ni tersangatlah penting.

1) Menjaga Diri Harus Diutamakan daripada Menjaga Orang Lain.

Tarbiyah seorang umat islam terhadap dirinya sendiri adalah usaha untuk melindungi dirinya dari seksa Allah dan nerakaNya.

Firman Allah dalam surah At-Tahrim:6

"Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu."

2) Jika kita tak mentarbiyah (membina) diri kita, siapa pula yang mentarbiyah kita?

3) Hisab pada hari akhirat nanti Bersifat Individual.

Ertinya pada hari pembalasan kelak, setiap orang akan bertanggungjawab terhadap perbuatannya sendiri dan tidak akan sekali-kali ditanya atas perbuatan orang lain.

4) Tarbiyah Dzatiyah itu lebih mampu Mengadakan Perubahan.

Setiap orang pasti ada kekurangan, atau melakukan kelalaian dan maksiat tidak kira maksiat kecil atau besar. Sungguh, seseorang tidak dapat memperbaiki kesalahan dan kesilapannya dengan sempurna jika dia tidak melakukan dengan tarbiyah dzatiyah kerana sesungguhnya dia lebih tahu diri sendiri dan rahsianya. Jika kita ingin mengadakan suatu kebaikan hendaklah bermula dari dalam diri kita dahulu.

5) Tarbiyah Dzatiyah adalah jalan untuk Tsabat (Tetap) dan Istiqamah.

Selepas bimbingan Allah taala, Tarbiyah Dzatiyah adalah jalan utama yang menjadikan umat islam mampu tsabat (tetap) di atas jalan iman dan petunjuk sehingga akhir kehidupannya.

Tarbiyah Dzatiyah juga bertindak sebagai kubu pertahanan berdepan dengan pelbagai tipu helah dunia yang menyerang umat islam tatkala ini.

6) Saranan dakwah paling kuat.

Sungguh, setiap orang adalah daie di jalan Allah. Cara efektif dalam berdakwah adalah dengan menunjukkan qudwah hasanah yakni contoh atau ikutan yang baik dari segi iman, ilmu, dan akhlaknya. Qudwah ini tidak mampu dibentuk melalui khutbah dan ceramah sahaja tetapi dibentuk melalui tarbiyah dzatiyah yang benar.

7) Cara yang betul dalam memperbaiki Realiti Hari Ini.

Jika setiap orang melakukan tarbiyah dzatiyah, iaitu dilakukan setiap orang akan tarbiyah terhadap dirinya sendiri dengan maksimum, syumul (Universal), dan seimbang maka akan lahirlah individu yang baik.

Bermula dengan diri, insyaAllah baik pula keluarganya lalu masyarakatnya pula.

8) Kerana Keistimewaan Tarbiyah Dzatiyah

Salah satu perkara yang menarik tentang tarbiyah dzatiyah adalah mudah diaplikasikan dalam setiap waktu dan tempat. Bila-bila masa sahaja kita boleh mentarbiyah diri kita sendiri tanpa melibatkan orang lain.

Tuesday, 11 December 2012

Mereka Pemburu Jannah



Aku meletakkan beg yang kusandang atas kerusi kecil di sudut meja belajar. Perlahan mata menatap kalendar buat seketika. Esok sudah masuk tahun baru islam, Maal Hijrah kalau ikut perkiraan tarikh dalam kalendar umat islam. Banyak yang menerpa dalam fikiran. Apa yang harus aku perbaiki dengan umur yang hampir mencecah 20 tahun. Apa yang sudah aku lakukan dalam tempoh hidup saat ini. Umph, rasanya cukup kelat untuk menjawab soalan-soalan yang bertandang secara bertubi-tubi.

 Keesokan harinya, alhamdulillah Allah bagi aku peluang untuk membuka mata lagi. Sungguh, nikmat yang tak terungkap. Pelbagai rancangan televisyen yang terpampang namun hatiku terdetik untuk melihat siaran berita  sungguhpun aku bukanlah peminat terhadap siaran berita. Ah, barangkali keinginanku untuk berubah ke arah yang lebih baik tanpa disedari. Kalau sebelum ini, berita adalah siaran yang paling aku tolak ketepi dan semestinya hiburan yang menjadi pilihan tetapi aku sedar aku adalah hambaNya yang diberi nikmat 24 jam yang seharusnya aku gunakan dengan cara yang bermanfaat.

Tanganku pantas menggosok baju sambil mata menatap skrin tv sekali-sekala. Permulaan untuk memfokuskan minat terhadap siaran berita ni bukanlah suatu yang menyeronokkan namun pergerakan tanganku terhenti saat laporan berita luar negara menyusul. Palestin!

Sungguh, sudah lama rasanya aku tidak mengambil tahu tentang mereka. Israel melancarkan serangan ke atas Gaza tatkala umat islam menyambut tajun baru islam! Satu tindakan yang melampaui batas.

Dan kusangka serangan sampai disitu sahaja tetapi anggapanku ternyata meleset sama sekali. Serangan dilancarkan selama lapan hari ke atas wilayah Gaza. Wilayah kecil itu terkena bedilan bom dan peluru yang dilepaskan oleh tentera laknat zionis Israel. Ya Allah, tangisan itu berkumandang lagi seakan tiada akhir, darah syuhada membasahi lagi tanah yang diberkati Allah, Palestin.


Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan wanita. Ah, liciknya engkau zionis Israel! Engkau banyak membunuh kanak-kanak kerana engkau takut mereka akan menjadi generasi yang akan membebaskan Palestin kelak. Tetapi engkau lupa satu perkara bahawa tatkala engkau membuat tipu daya Allah juga membuat perkara yang sama sedang engkau tidak menyedarinya.

Dikala engkau membunuh ramai kanak-kanak, ramai lagi wanita Palestin yang melahirkan generasi yang akan membebaskan Palestin. Ramai lagi tentera Allah yang menanti untuk berjuang membebaskan Palestin. Kanak-kanak Palestin kurasakan lebih matang menghadapi hari-hari mereka. Tiada khayalan yang mengelabui mata mereka seperti kanak-kanak di tempat lain. Tiada hiburan dan drama asyik yang mengisi waktu mereka. Mereka adalah manusia terpilih diantara banyak manusia lain.

Cuma dua tekad sedari dari kecilmu samada membebaskan Palestin atau mati syahid. Wahai rakyat Palestin, engkau dalam kesusahan tetapi aku tak melihat pengemis di wilayah Gaza. Tidak ada! Sungguh, aku yang berhutang pada engkau kerana engkau berjuang bermati-matian untuk mempertahankan bumi Palestin untuk seluruh umat islam. Ya, kami seluruh dunia yang sebenarnya berhutang denganmu. Segala bantuan dan pertolongan dari serata dunia kala ini  memang layak untuk engkau peroleh meskipun umat islam tahu kau tidak pernah meminta untuknya.

Al-Quds, Gaza, Palestin merujuk pada satu tempat. Tempat yang di dalamnya terdapat ramai pemburu jannah yang tak pernah gentar. Allahuakbar!





Friday, 30 November 2012

Bakteria vs Antibakteria




Kalau zaman kanak-kanak dahulu, apabila kita berlari dan tanpa disangka adakalanya kita terjatuh. Mungkin ada yang menangis kemudian bangun balik dan ada juga kanak-kanak yang jatuh tapi mereka tak menangis malah terus bangkit semula.

Apa kata kita aplikasikannya dalam hidup kita yang umpama roda berpusing. Tidak selamanya kita berada di tempat yang sama. Adakalanya kita berada di atas dan adakalanya juga kita berada di bawah. Yang namanya cabaran dan halangan itulah yang mewarnai hidup kita. 

Seronok bukan apabila cabaran dan halangan ini datang dalam hidup kita. Yang menjadi masalah adalah apabila kita menganggap cabaran dan halangan ini sebagai satu masalah. Oleh sebab itulah, tatkala masalah datang, kita sukar untuk bangun semula dan ada juga yang langsung tak boleh bangun seperti sediakala. Apa kata kita cuba ubah pandangan kita terhadap perkara ini. Mulai hari ini jadikan cabaran itu sebagai satu peluang untuk kita jadi orang yang lebih baik dan bukan sebaliknya.

Analogi yang agak asing di sini, tetapi menarik apabila difikirkan semula. Umpama bakteria dan anti bakteria.  Tahukah anda bahawa anti bakteria terhasil daripada bakteria. Sungguh, tak dapat dinafikan fakta ini. Begitu jugalah kehidupan. 

Kita tak mampu untuk jadi lebih kuat andai cabaran dan halangan itu tak datang dalam hidup. Melalui cabaran dan halangan inilah akan terhasil nilai ketabahan dan kesabaran yang akhirnya membuahkan hasil yang sangat manis. 

Halangan dan cabaran itu kita namakan sebagai bakteria dan dari situ akan terhasillah anti bakteria yang kita rujuk kepada sifat sabar dan tabah untuk menghasilkan pertahanan yang baik. Jadi, bahagia bukan apabila bakteria yang namanya cabaran itu datang dalam hidup kita. 

'Ah, cakap senanglah.'

'Kau tak rasa masalah yang kena pada aku. Kau tak akan faham.'

'Kenapa rasa down sangat-sangat ni?'

'Ah, malaslah aku nak fikir masalah ni lagi. Menyerabutkan kepala otak aku saja.'

Pasti ramai antara kita pernah mendengar luahan seperti ini atau boleh jadi kita sendiri yang mengungkapkan kata-kata di atas. Itu memang perkara yang tidak asing lagi.

Sememangnya pahit dalam menghadapi cabaran tapi ingatlah dalam hidup ini biarlah rasa pahit itu datang dahulu kemudian biarlah di penghujungnya kita bertemu kemanisan. Jangan biar diri kita leka untuk merasakan kemanisan tetapi hakikat penghujung kita bertemu dengan kepahitan. 

Kita orang yang beriman pada Tuhan yang Satu yakni Allah. Destinasi kita di penghujungnya pasti syurga. Maka ingatlah, harga syurga itu mahal dan tiket untuk memasukinya bukanlah satu laluan yang mudah kerana cabaran itu pasti menjadi pengiring setia namun percayalah pada janji Allah.  

Orang yang beriman dan beramal soleh itu tempatnya di syurga kelak. Kebanyakan orang pada hari ini merujuk kepada orang beriman tetapi tidak memenuhi kepada amal soleh. Jadi, apakata kita mulakan langkah bersama-sama dalam dua aspek ini iaitu kita jadi orang yang beriman dan seterusnya aplikasi dalam amal kebaikan. 

'Kau senanglah cakap sebab engkau ada surrounding yang bagus. Mak bapak pun baik. Aku tak macam kau!'

'Alah, orang macam aku ni tak payahlah. Buat baik orang tak terima kalau buat jahat mengata pula.'

'Cukuplah jadi macam ni. Malas nak fikir banyak-banyak.'


Janganlah berfikiran begini. Andai persekitaran tak dapat membantu kita untuk menjadi lebih baik maka apakata kita yang cuba untuk merubah keadaan itu. Dan jangan sekali kita fikir apa kata-kata orang pada kita. Sebulan atau dua bulan pasti mereka akan melupakannya. Jangan lumpuh mendengar kata mereka. Dan jadilah orang yang sentiasa berfikir untuk memperbaiki potensi diri. Tahu tak bahawa kita adalah manusia yang hebat apabila kita mengenal potensi sebenar diri kita.


Jom kita jadi orang yang sukakan cabaran dengan harapan dapat memperbaiki diri. Andai jatuh, jangan give up. JOM kita bangkit semula!